PETALING JAYA: Perang bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sudah bermula dengan pembubaran dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kelantan dan Negeri Sembilan yang diumumkan semalam.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan pembubaran DUN adalah pada 22 Jun manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan, DUN akan dibubarkan 30 Jun ini.
Pembubaran itu bagi memberi laluan PRN diadakan di enam negeri iaitu Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan DUN akan dibubarkan pada 28 Jun ini dan Terengganu juga dijangka membubarkan DUN pada tarikh yang sama.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pula memberitahu Utusan Malaysia, beliau bercadang membubarkan DUN juga pada 28 Jun ini.
Selangor walaupun masih belum mengesahkan bila DUN akan dibubarkan, ia akan terbubar dengan sendirinya pada 4 Julai ini apabila tamat penggal pemerintahan lima tahun.
Pembubaran beberapa DUN negeri ini dilihat selari dengan saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini yang berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak.
Kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM100 juta jika enam negeri sepakat bubarkan DUN bagi melaksanakan PRN serentak berbanding diadakan berasingan yang akan menelan kos sehingga RM500 juta.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, langkah itu juga bagi memudahkan urusan SPR termasuk penyelarasan petugas dalam memastikan PRN berjalan lancar.
Pilihan raya mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan mengikut Perlembagaan negeri masing-masing.
PRN kali ini juga bakal menjadi medan ujian antara BN-PH dan Perikatan Nasional (PN) dalam menarik sokongan pengundi Melayu dan luar bandar.
Ini susulan ‘tsunami Melayu’ dan kehadiran pengundi baharu yang menyumbang kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15.
Ekoran itu, ramai pemerhati politik melihat tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal dimenangi dengan mudah oleh Perikatan Nasional (PN) yang dilihat mendapat sokongan pengundi Melayu.
Dalam PRU15, PH memperoleh 84 kerusi Parlimen dan diikuti BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (23 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (satu) serta dua calon Bebas manakala PN pula mendapat 72 kerusi. – UTUSAN










