Penternak ikan sangkar digesa sertai konsortium

Penternak ikan sangkar digesa sertai konsortium

SEORANG penternak di Temerloh, Pahang gusar memikirkan pengualaran ikan sangkar miliknya yang semakin berkurangan kerana risiko ikan mati semakin meningkat. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) mencadangkan lebih 1,200 penternak ikan sangkar di negeri ini bergabung di bawah Konsortium Ikan Pahang bagi membela nasib mereka.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini kira-kira 900 penternak menyertai konsortium itu dan selebihnya masih bergerak ‘solo’ sekali gus berdepan masalah seperti kekurangan benih ikan.

Menurutnya, Angkasa sehingga kini sudah menyalurkan RM500,000 kepada konsortium itu sebagai bantuan bekalan benih ikan terutama patin dan tilapia.

“Penternak yang menyertai konsortium ini sebenarnya tiada masalah mendapat bekalan benih ikan kecuali penternak ‘solo’ yang bergerak secara bersendirian.

“Namun begitu, pihak konsortium turut mengakui masalah di luar jangka seperti pemanasan global dan Sungai Pahang semakin cetek mempengaruhi pembesaran dan upaya hidup ikan,” katanya di sini semalam bagi menjawab isu kekurangan benih patin di negeri ini.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa bekalan ikan patin sangkar di daerah Jerantut dan Temerloh bukan sahaja semakin kritikal malah dijangka hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa bulan lagi ekoran kekurangan benih ikan.

Abdul Fattah berkata, antara isu yang mendapat perhatian ketika ini adalah masalah kekurangan ikan patin hingga mengakibatkan ramai peniaga terpaksa mencari alternatif untuk menggantikan ikan sungai itu.

Menurutnya, beliau difahamkan isu membabitkan bekalan ikan patin ini bukan berpunca daripada kekurangan benih ikan itu, tetapi lebih kepada isu sungai yang semakin cetek.

“Jadi, apabila sungai cetek, susahlah pengusaha atau penternak untuk menghasilkan bekalan ikan mencukupi kepada peniaga.

“Sebab itulah saya cadangkan setiap penternak perlu menganggotai konsortium penternak ikan Pahang yang boleh mewakili semua penternak, bukan hanya penternak ikan patin, ikan kerai dan ikan lain pun terjejas juga,” katanya.

Tambah beliau, penternak ikan seperti patin, harus bijak menguruskan penternakan supaya bekalan sumber protein itu tidak putus bagi menampung permintaan tinggi di pasaran.

Abdul Fattah turut memuji tindakan proaktif Jabatan Perikanan melalui Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) bagi meningkatkan pengeluaran benih ikan patin.

Beliau berharap Konsortium Ikan Pahang bekerjasama dengan PPA antaranya PPA Perlok dan Bukit Tinggi di negeri ini dan PPA Tapah, Perak serta Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi.

“Kita harap sasaran 600,000 benih ikan seperti difokuskan oleh PPA terlibat dapat dicapai sekali gus menyelesaikan isu kekurangan benih dihadapi penternak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN