Pengundi PRN beralih arah

Pengundi PRN beralih arah

Pengundi mahu beralih arah memberi sokongan kepada parti bukan kerajaan kerana mendakwa pemerintah gagal meningkatkan tahap ekonomi rakyat. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tiada perubahan ke arah meningkatkan tahap sosial ekonomi rakyat antara sebab pengundi akan beralih arah memberi kemenangan kepada calon daripada parti yang tidak menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Mereka mendakwa telah memberi peluang kepada calon kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu de­ngan harapan nasib dan kebajikan akan terpelihara, namun sebaliknya kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu dilihat masih gagal berbuat demikian.

Peniaga kedai makan, Zulkifli Saad, 44, dari Lubok Merbau, Kuala Nerang berkata, sebagai pengundi lama dia telah melihat pelbagai corak pemerintahan selama ini dan memilih calon daripada PH dalam PRU lalu kera­na inginkan perubahan dalam semua segi.

“Tapi seperti semua sedia maklum, keadaan ekonomi sekarang makin meruncing apabila menteri dilantik hanya banyak mengutarakan formula sebaliknya gagal menggunakan kuasa mereka membendung kenaikan harga barang keperluan.

“Keadaan ini menyebabkan taraf hidup penduduk tidak berubah kerana sentiasa tertekan apabila harapan yang dile­takkan kepada pemerintah sebagai pembela nasib tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pembantu kedai, Solehah Hamid, 56, pula akan mengutamakan calon muda yang dilihat lebih mempunyai ketokohan memimpin berbanding calon lama atau dikitar semula.

“Kita keluar mengundi bukan untuk berpesta tetapi memilih wakil rakyat yang benar-benar menjadi pembela dan mampu mentadbir negeri dengan meng­utamakan kebajikan rakyat.

“Cukuplah dengan mainan politik tidak berkesudahan pihak tertentu selama ini yang lebih banyak menjaga kepenti­ngan diri sebaliknya gagal bekerja sepertimana dijanjikan dalam manifesto sebelum bergelar wakil rakyat,” katanya.

Bagi Sipanot Salim, 54, rakyat bukan lagi mengharapkan kemudahan jalan, balai raya atau jambatan baharu kerana semua itu telah sedia ada dilengkapi.

“Sekarang ini kita mahu calon yang menawarkan diri dalam PRN kelak mesti ada sikap dan sifat bertanggungjawab untuk susah dan senang bersama rak­yat,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×