Penglibatan pelajar bidang STEM di Sabah membimbangkan

Penglibatan pelajar bidang STEM di Sabah membimbangkan

HAJIJI Noor (tiga, kiri) menyampaikan Anugerah Sekolah Bitara STEM kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Sains Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kadar penglibatan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) terutamanya sains tulen di Sabah semakin menurun dan situasi ini agak membimbangkan. 

Malah, jika dilihat penglibatan pelajar dalam bidang STEM pada tahun ini hanya 27 peratus dan kadar itu masih jauh daripada sasaran untuk mencapai 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera (60:40). 

Untuk itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu satu pelan tindakan bersepadu dirangka bagi memastikan sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar di Sabah mengambil aliran sains menjelang 2025.

Beliau akan meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta agensi berkaitan untuk menghasilkan pelan tindakan berkenaan. 

“Saya berharap KSTI, Jabatan Pendidikan Negeri dan semua agensi berkaitan dapat melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025.

“Kita mahu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa hadapan,” katanya semasa Majlis Anugerah Sains Sabah malam tadi.

Menurut beliau, di peringkat negeri, Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE atau Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi di Sabah.

“Pada masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri turut merangka Pelan Strategik STEM 2023-2025 yang merangkumi pelbagai program lonjakan STEM yang melibatkan guru, pelajar, pentadbir sekolah serta ibu bapa. 

“Seperti kita sedia maklum, generasi muda adalah pelapis utama negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan yang mencukupi dan berkemahiran tinggi dapat dilahirkan untuk memacu pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kajian Kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Industri Angkasa Sabah.

Sekiranya kajian itu membawa indikasi positif maka, Sabah bakal membina kemudahan pelancaran angkasa lepas ke-16 di dunia dan sekali gus akan meletakkan Malaysia sebagai negara kesembilan yang memiliki fasiliti sedemikian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN