KUALA SELANGOR: Kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di persimpangan Jalan Teluk Piah, di sini, menimbulkan keresahan kepada penduduk setempat yang menganggapnya sebagai ‘simpang maut’.
Keadaan itu berlaku berikutan simpang empat yang dibina sejak puluhan tahun berkenaan tidak selari hingga mengundang risiko kemalangan terutama pada waktu puncak.
Penduduk, Hamdan Abd Hamid, 52, berkata simpang jalan itu sememangnya mengelirukan pengguna jalan raya terutama bagi mereka yang pertama kali menggunakannya.
“Simpang ini sibuk dan menjadi laluan utama dari semua arah termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah. Saya juga terpaksa berhati-hati menunggang motosikal setiap kali melintas jalan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.
Menurut Hamdan, biarpun penghadang jalan diletakkan di laluan itu, ia tetap mengundang bahaya dan risiko keselamatan pengguna.
Seorang lagi penduduk, Norzila Zainal, 56, berkata masalah itu bukan baharu malah sudah berpanjangan. Sementara itu, Juwairiya memaklumkan, isu berkenaan kerap dibangkitkan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menerusi JKR termasuklah cadangan membina lampu isyarat serta naik taraf jalan di persimpangan tersebut. “Jalan ini sesak dengan aliran trafik sekitar 12,000 hingga 13,000 pengguna kenderaan setiap hari dan jumlah itu meningkat sehingga 70 peratus semasa musim perayaan.
“Sebanyak RM14.6 juta diperuntukkan bagi projek menaik taraf jalan itu pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) namun kita terima RM500,000 setakat ini sekali gus tidak mencukupi bagi kerja menaik taraf,” jelasnya.-UTUSAN









