Pembangkang masih enggan runding projek di kawasan mereka - Utusan Malaysia

Pembangkang masih enggan runding projek di kawasan mereka

ANWAR Ibrahim merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat di UiTM Merbok, Sungai Petani. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pembangkang sehingga kini enggan mengadakan rundingan bersama kerajaan bagi meneruskan projek-projek berkepentingan rakyat di kawasan mereka.

Anwar berkata, beliau sudah meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mempelawa dan berbincang dengan ahli Parlimen pembangkang mengenai perkara itu namun tiada sebarang perjumpaan berhubungnya dilakukan.

“Ini soal yang dibangkitkan tentang projek-projek di kawasan pembangkang. Bila saya jadi Perdana Menteri, saya jawab melalui perundingan kita akan segera meluluskan projek daripada pembangkang sama dengan ahli Parlimen yang lain.

“Tetapi sampai sekarang pihak pembangkang enggan mengadakan perundingan. Cuma dia menyelar, terus kecam kata kita tidak bagi kelulusan sebagai zalim dan yang dulu kamu tak bagi, tak zalimkah?” Soalnya pada Majlis Penutupan Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi tempoh seminggu kepada setiap pejabat daerah untuk menghantar senarai projek berkepentingan di daerah masing-masing bagi mempercepat proses pembangunan.

“Kalau projek itu memang penting dan prosesnya telus termasuk dalam soal lantikan kontraktor munasabah, maka kita boleh teruskan. Saya bimbang kalau ada projek pembangunan yang terabai begitu lama. Pendekatan kita adalah untuk kurangkan masalah rakyat.

“Malah, saya nak beri jaminan kepada para pegawai daerah agar jangan bimbang kalau dari segi teknikal ada beberapa kelemahan sedikit. Saya beritahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jangan ganggu kerana yang kita harus ganggu adalah yang ‘merompak’,” tegasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan memastikan pembangunan itu dijalankan tanpa prejudis termasuk di kawasan yang diwakili oleh pembangkang.

“Saya tak ada masalah untuk lulus projek. Kodiang itu tempat pembangkang namun, saya baru sahaja meluluskan projek RM1.2 juta di sana hari ini yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan bersetuju memberi kelonggaran bagi kaedah perolehan kerja termasuk pengecualian ke atas Arahan Perbendaharaan (AP) 182 kepada semua kementerian dan agensi pelaksana sehingga peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.

“Ini bermakna, semua projek Kerajaan Persekutuan merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan yang bernilai sehingga RM1 juta boleh dilaksanakan terus di peringkat negeri atau daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Selain itu, pengesahan kerja yang siap boleh dibuat oleh ketua jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat agensi pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kementerian juga mewujudkan Pasukan Pemantau Projek dengan penglibatan beberapa agensi serta pegawai pelbagai jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil agar memenuhi objektif ditetapkan.

“Kelonggaran ini berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Disember tahun ini bagi memastikan kerja-kerja ini siap dalam tahun semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya