Pelajar 11A terima lebih 10 tawaran sambung pengajian, biasiswa

Pelajar 11A SPM terima lebih 10 tawaran sambung pengajian, biasiswa

MUHAMMAD Syahril Saidi (tengah) meneliti tawaran yang diterima selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Pelajar cemerlang, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 meskipun menjaga arwah ibunya yang terlantar sakit menerima lebih 10 tawaran untuk menyambung pengajian dan biasiswa.

Muhammad Syahril, pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang, berkata, antara tawaran itu adalah dari Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kerajaan negeri termasuk universiti awam tempatan.

Katanya, dia tidak pernah menyangka akan menerima banyak tawaran sehingga menyukarkannya untuk membuat pilihan.

“Alhamdulillah…syukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dan terima kasih atas semua tawaran itu. 

“Apapun, saya terlebih dahulu akan berbincang dengan keluarga dan guru sebelum membuat keputusan untuk menyambung pengajian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kandis, di sini hari ini.

Muhammad Syahril memberitahu, dia sememangnya bercita-cita untuk menyambung pengajian ke luar negara dalam bidang bahasa Arab.

Katanya, sebelum ini dia nekad untuk meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana ingin menjaga ibu yang sakit.

“Tetapi apabila ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, meninggal dunia, perancangan saya berubah selepas mendapat pandangan keluarga dan guru yang lebih berpengalaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Syahril berkata, kejayaannya pada SPM 2022 baru-baru ini adalah berkat sokongan daripada seluruh ahli keluarga dan sanak saudara yang sentiasa membantunya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang berada di belakang saya terutamanya adik-beradik, ibu dan bapa saudara yang banyak memberi sokongan.

“Tanpa dorongan mereka, saya pasti tidak mampu untuk menghadapi situasi ini seorang diri. Bagi saya, dalam hidup ini kita perlu mementingkan adab melebihi ilmu,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hajat ibu untuk melihat anak memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas menjaganya yang terlantar akibat penyakit saraf akhirnya tercapai sebelum dia menghembuskan nafas terakhir Sabtu lalu.

Kisah Muhammad Syahril tular selepas pengorbanannya menjaga dan menyantuni ibu, Tuan Faridah apabila turut berjaya memperoleh keputusan 11 A dalam SPM yang diumumkan pada Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN