Pejuang, Putra akan bersama PN

Pejuang, Putra akan bersama PN

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mahu diberi peluang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu diberi peluang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Hasrat untuk menyertai pilihan raya di bawah gabungan PN sudah pun disampaikan kedua-dua presiden parti tersebut dalam pertemuan meja bulat Proklamasi Melayu yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tempoh hari.

Menurut Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali, perkara tersebut sudah pun dibincangkan dengan beberapa pemimpin PN termasuk Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tegasnya, jika tidak diberi peluang menyertai pilihan raya tersebut, Putra lebih cenderung menjadi penonton daripada menjadi tukang sorak.

“Perbincangan sudah pun berlangsung namun setakat ini belum ada keputusan dibuat walaupun PN sudah selesai pembahagian kerusi mereka.

“Jika tidak diberi peluang hanya ada dua kemungkinan, sama ada kita bertanding solo atau tidak bertanding langsung untuk mempersiapkan parti menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16),” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Putra Ke-4 di sini semalam.

Menurut beliau, pihaknya tidak kisah berapa banyak kerusi yang akan diberi asalkan dapat menyertai pilihan raya tersebut sebagai bukti kebersamaan dalam perpaduan parti-parti Melayu.

“Guna logo PN (pada pilihan raya negeri) pun tak apa. Biarlah wakil kami tersebut (jika menang) mewakili PN tetapi rohnya masih ahli Putra,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya juga berhasrat menyertai PRN tidak lama lagi, justeru, menaruh harapan akan ada perbincangan agihan kerusi dengan PN tidak lama lagi.

Jelasnya, hasrat tersebut sudah pun dimaklumkan pada Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Melayu yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir dengan turut dihadiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Takiyuddin dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris.

“Jadi kita harap kalau boleh dapat masa terdekat ini ada satu bentuk jawapan yang akan menunjukkan bahawa undi Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhan boleh disatukan di bawah satu gagasan untuk berdepan PH (Pakatan Harpaan) dan BN (Barisan Nasional),” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah memaklumkan Pejuang tidak akan putus asa selepas permohonannya untuk menjadi sebahagian daripada parti komponen PN ditolak sebelum ini.

“Kami tak putus asa, kami harap satu kerjasama politik boleh diwujudkan yang akan menyatukan semua parti Melayu termasuk PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN