Pegawai polis terlibat salah laku, rasuah, pelanggaran disiplin tidak

Pegawai polis terlibat salah laku, rasuah, pelanggaran disiplin tidak dilindungi

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana pegawai polis terlibat kesalahan jenayah, salah laku, rasuah, mahupun pelanggaran disiplin sama sekali tidak akan dilindungi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tegas mengikut lunas undang-undang dan peraturan jabatan, tetap akan diambil terhadap mana-mana warga pasukan yang didapati terbabit dengan kesalahan.

Menurutnya, segala inisiatif dan langkah yang diambil untuk menangani salah laku dalam pasukan perlu disegerakan, bagi mengelakkan ia menjadi ‘barah’ yang secara perlahan-lahan membinasakan PDRM.

“Tindakan pembendungan dan pencegahan adalah lebih penting dan berkesan kerana kita tidak mahu ‘nasi menjadi bubur’ dan maruah pasukan akhirnya lebur.

“PDRM juga akan sentiasa berusaha memperkasakan integriti seiring dengan dasar kerajaan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Jun 2023 anjuran Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Pada majlis itu, Acryl Sani turut menyampaikan Anugerah Integriti kepada enam penerima serta sijil penghargaan kepada 22 pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan atas prestasi cemerlang perkhidmatan.

Mengulas lanjut, katanya tindakan di bawah dasar memperkasa governans, integriti dan anti-rasuah sedang giat dilaksanakan melalui Jawatankuasa Antirasuah (JAR) PDRM dan Pelan Antirasuah PDRM (PAPDRM) 2020-2024.

“Untuk itu, saya mengarahkan semua jabatan dalam PDRM dapat memastikan segala inisiatif dan sub-inisiatif yang dirangka di dalam PAPDRM dapat dilaksanakan seperti mana yang direncanakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya PDRM memfokus untuk memperkasa aspek integriti dalam pasukan dan menjadikannya indikator terpenting dalam aspek keperibadian penjawat awam yang memegang amanah rakyat.

Menurut beliau, perkara itu selaras konsep Malaysia Madani yang dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi tata kelola dan pentadbiran negara secara berkesan, dengan berteraskan nilai, etika dan akhlak diperkenalkan Perdana Menteri.

“Selari dengan hasrat itu, saya juga meletakkan aspek pemerkasaan integriti sebagai salah satu daripada tiga fokus utama yang perlu dihayati oleh seluruh warga PDRM

“Justeru, untuk memastikan fokus ini dapat dicapai, elemen ilmu, penghayatan dan pembudayaan integriti perlu diberi penekanan secara langsung di semua sudut dalaman pasukan,” ujarnya.

Tegas beliau, tugas pemerkasaan integriti bukan terletak di bahu JIPS semata-mata, bahkan semua pihak khususnya pegawai penyelia dari peringkat bawahan sehinggalah kepada peringkat pegawai atasan.

“Semua pegawai penyelia perlu memainkan peranan masing-masing dengan baik,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya