SOKONGAN rakyat Kelantan terhadap Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat ‘tok ggogek’ atau tidak berganjak meskipun pelbagai siri pendedahan berkait kelemahan dan kepincangan pentadbiran disebarkan menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Pendedahan itu seolah-olah dilihat tidak ‘laku’ dalam kalangan rakyat negeri ini apabila lebih selesa memilih untuk ‘menelan’ input-input yang disampaikan oleh pemimpin Kerajaan Negeri menerusi ceramah-ceramah umum.
Menjelang PRN kali ini, Pas mendapat ‘tonik’ paling berharga apabila bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyertai parti itu.
Kemasukan Annuar menambah kekuatan Pas sekali gus mencerahkan peluang parti itu untuk terus menerajui tampuk pentadbiran di bumi serambi Mekah untuk penggal akan datang.
Sejak menyertai Pas, Annuar secara sukarela dilihat memainkan peranan cukup besar apabila bertindak sebagai ‘tukang syarah’ dalam menarik sokongan ahli UMNO menerusi pendedahan berkait dengan kepincangan parti berkenaan yang membentuk kerjasama dengan Dap menerusi Kerajaan Perpaduan.
Pendedahan Annuar itu sedikit sebanyak dilihat mampu ‘memancing’ sokongan pengundi dan penyokong UMNO untuk bersama-sama Pas pada PRN Kali ini.
Mengukuhkan lagi peluang Pas untuk terus kekal berkuasa di negeri ini, apabila ‘tsunami’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dijangka berpihak kepada mereka pada PRN nanti.
PRU15 lalu menyaksikan Pas bersama rakan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menyapu bersih semua 14 kerusi parlimen di negeri ini termasuk menumbangkan orang lama dalam arena politik negara iaitu Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li di Gua Musang.
Berpandukan kepada ‘tsunami’ itu, Pas bersama Bersatu yang menggunakan simbol bulan pada PRN nanti dijangka tidak berdepan masalah untuk berdepan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Malah Pas dilihat mampu mengurangkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRU14 lalu. Mengambil kira keputusan PRU15 lalu, BN hanya dijangka mampu mempertahan kerusi DUN di kawasan Gua Musang iaitu Galas, Nenggiri dan Paloh.
Bagaimanapun, Pas tidak boleh berada dalam zon selesa pada PRN nanti. Hal ini kerana BN dan PH pastinya mempunyai strategi dan ramuan tersendiri untuk menambah bilangan kerusi di DUN Kelantan nanti.
Semua itu terpulang kepada 1.4 juta pengundi yang akan menjalankan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat di 45 kawasan DUN di seluruh negeri. – UTUSAN










