Padah remaja 13 tahun kerja sambilan pandu lori - Utusan Malaysia

Padah remaja 13 tahun kerja sambilan pandu lori

Remaja pandu lori
REMAJA lelaki (gambar kecil) yang ditahan ketika memandu sebuah lori jenis Roro ketika melalui Persiaran Mokhtar Dahari di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bekerja sambilan dengan memandu lori mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa di Persiaran Mokhtar Dahari di sini, semalam.

Penahanan pelajar sekolah itu dilakukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang mengesan lori jenis ‘Roll On Roll Off’ (Roro) dalam keadaan mencurigakan, kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, pemeriksaan lanjut JPJ mendapati lori tanpa muatan itu dipandu oleh remaja berkenaan bersama abangnya yang berusia 15 tahun bertindak sebagai kelindan.

“Siasatan awal mendapati remaja itu melakukan kerja secara sambilan memandu lori milik syarikat keluarganya.

“Selain memandu dinbawah umur, kita mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, cermin gelap, memasang lampu mata arah (strobe light) dan tiada tanda had laju,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Khairul Khar, pihaknya menyita lori itu mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa Ijok bagi tindakan lanjut.

“Memandu di bawah umur juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 akta sama. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan trafik boleh menyalurkannya kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya