SEPERTI atlet sukan, seorang penyanyi juga melalui fasa naik turun seiring pertambahan usia. Tetapi, pujian buat Noryn Aziz kerana mampu mengekalkan mutu nyanyian pada usia 46 tahun.
Bukan mudah untuk mencari rentak yang pernah hilang. Apatah lagi ibu seorang cahaya mata ini pada satu tempoh pernah berehat panjang daripada dunia persembahan pentas.
Sehinggalah Noryn memutuskan untuk menyertai pentas Gegar Vaganza 5 sekali gus menjuarai program berkenaan pada tahun 2018.
Detik itu mencetuskan kesedaran dia perlu bekerja lebih keras untuk mengembalikan momentum seperti sebelumnya.
Ketika ditemui selepas mini showcase di ibu kota baru-baru ini, Noryn menceritakan tentang fasa yang dilalui sebelum dan selepas kebangkitan semula.
Katanya, dia pernah hilang keyakinan dan meragui kemampuan diri untuk menyanyi secara live di depan khalayak gara-gara tahap nyanyian yang baginya, kurang memberi impak.
“Saya berehat sebelum menyertai GV5. Kerana itu, prestasi vokal menurun dan saya sendiri hilang momentum disebabkan lama meninggalkan persembahan nyanyian.
“Otot suara yang lama direhatkan ‘terkejut’ apabila dikerah semula. Tempoh itu saya kehilangan range suara selain faktor usia yang semakin bertambah.
“Sebab itu saya anggap kelahiran single baharu, Kau dan persembahan dalam showcase ini sebagai satu kelahiran semula dalam kerjaya nyanyian saya,” kongsi Noryn.
Pengalaman yang dikumpul Noryn bukan sehari dua, malah lebih empat dekad. Namun dia tidak mudah selesa dengan kedudukan sekarang dan tidak ralat untuk kembali kepada asas bagi membina semula kekuatan.
“Bukan sekejap untuk dapatkan semula rentak, makan masa bertahun-tahun. Dalam tempoh itulah saya berlatih setiap hari, cari cikgu vokal untuk asah kemahiran. Semua itu saya buat perlahan-lahan.
“Pada masa sama, usia sekarang juga menuntut saya untuk menjaga tubuh dengan sebaiknya. Berat badan perlu dikawal, kekalkan antara 50 hingga 51 kilogram dengan cara menjaga pemakanan dan melakukan senaman Yoga,” katanya lagi.
SABAR, REDA DAN DOA
Kelahiran lagu Kau yang menjadi single terkini Noryn sebenarnya menceritakan kebahagiaan yang dikecapi penyanyi ini selepas melalui fasa turun naik dalam kehidupan sebelum ini.
Noryn akui, akhirnya dia temukan kemanisan dan kebahagiaan yang dicarinya selama ini.
“Lagu ini simbolik kepada kebahagiaan yang saya kecapi bersama suami dan anak-anak. Akhirnya, saya temukan kemanisan yang saya cari selama ini.
“Saya tidak mencari kesempurnaan. Tetapi apa yang saya miliki sekarang sangat memadai. Hidup reda dan tenang, lebih-lebih selepas bersusah payah melalui pahit getir dalam kehidupan,” katanya.