Negeri Sembilan mahu tambah kawasan hutan simpan kekal - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan mahu tambah kawasan hutan simpan kekal

AMINUDDIN Harun (lima dari kanan) menanam pokok Medang Sarsi sempena program Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2023 Peringkat Negeri Sembilan di PD Forest @ Sungai Menyala di Port Dickson. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan dalam proses menambah keluasan kawasan hutan simpan kekal di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia membabitkan beberapa kawasan hutan simpan bakau seluas 330 hektar di daerah ini.

Jelas beliau, hutan berkenaan akan diwartakan sebagai hutan simpan kekal yang turut diharap menjadi pusat kajian bagi gene­rasi muda mengenai hutan bakau.

Menurutnya, beberapa kawasan bersesuaian sedang dikenal pasti untuk tujuan itu antaranya kawasan hutan bakau di Sungai Nipah, Chuah, Lukut dan Sungai Linggi.

“Sekarang anak muda tak tahu apa itu hutan bakau, apa ada di dalamnya. Mereka tidak kenal lokan, kupang, siput, banyak yang ada di dalam hutan bakau yang merupakan sumber alam yang menjadi tempat makanan ikan.

“Ini (hutan bakau) antara yang harus kita jaga bagi memastikan sumber ikan kita walaupun tidak banyak tetapi dijaga dan dihargai, itu tengah kita kenal pasti kawasan tersebut, apabila sudah diwartakan, ia kekal menjadi khazanah kita,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Ne­geri Sembilan 2023 di PD Forest @ Sungai Menyala di sini semalam.

Sempena program itu, turut diadakan penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan bagi rekod Jam Matahari Terbesar Dalam Hutan Simpan dan Dataran Astronomi Terbesar Dalam Hutan Simpan.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri komited mengekalkan keluasan litupan kawasan berhutan negeri de­ngan mengekalkan keluasan hutan simpan kekal seluas 155,086 hektar.

Jelasnya, ia mewakili 23 peratus daripada keluasan tanah negeri sekali gus selaras dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, aktiviti ekopelancongan hutan diberi perhatian oleh kerajaan negeri untuk dimajukan secara tersusun sejajar hasrat meningkatkan sumber pendapatan sebanyak 30 peratus daripada ekopelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya