Naik taraf hampir RM4 juta, kompleks renang di Seberang Jaya dibuka semula Januari depan - Utusan Malaysia

Naik taraf hampir RM4 juta, kompleks renang di Seberang Jaya dibuka semula Januari depan

SOON Lip Chee (dua dari kanan) ketika meninjau projek menaik taraf, mengurus serta menyelenggara Kompleks Kolam Renang Awam di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUKIT.MERTAJAM: Kerja-kerja menaik taraf, mengurus serta menyelenggara Kompleks Kolam Renang Awam di Seberang Jaya dekat sini yang menelan belanja antara RM3.5 hingga RM4 juta dijangka selesai menjelang Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, ketika ini, kerja-kerja tersebut telah 65 peratus siap selepas diserahkan kepada sebuah syarikat swasta, D’Swim Academy Sdn. Bhd. (DSA) untuk mengendalikannya.

Lip Chee berkata, kompleks kolam renang itu bagaimanapun hanya akan dibuka kepada orang ramai mulai awal tahun depan selepas kerja-kerja akhir siap termasuk setelah sijil perakuan bomba atau CF diperolehi.

“Antara kerja-kerja naik taraf itu termasuk pembaikan kolam, penyediaan bumbung, menaik taraf tandas, kaunter tiket, kafeteria dan surau.

“Kerja naik taraf lain termasuk melibatkan pendawaian, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), menaik taraf bilik pam serta menyediakan sistem sukatan bahan kimia secara automatik untuk penyelenggaraan air kolam,” katanya ketika meninjau perkembangan projek tersebut, di sini.

Yang hadir sama, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Rashidah Jalaludin dan Pengurus Besar DSA, Cyrena Yong.

Mengulas lanjut, Lip Chee berkata, meskipun selepas dinaik taraf, kadar bayaran untuk memasuki kompleks kolam renang itu tidak akan berubah iaitu antara RM1.50 hingga RM10 mengikut kategori dan kewarganegaraan selain percuma untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Ia akan dibuka seperti sebelum ini iaitu antara 11 pagi hingga 9 malam setiap Selasa hingga Jumaat serta Sabtu dan Ahad dari 9 pagi hingga 9 malam manakala Isnin pula ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya yang memberitahu, kelas renang juga akan dibuka kepada orang ramai yang berminat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan kompleks kolam renang di Seberang Jaya itu kelak boleh dianggap sebagai alternatif untuk orang awam terutama yang tinggal di Seberang Perai beriadah dan berenang.

Ini kerana, jelas beliau, sebuah lagi kolam renang awam iaitu milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Jalan Betek, di sini terpaksa ditutup untuk tempoh agak lama dipercayai akibat masalah kebocoran yang serius.

“Ketika ini, kerajaan negeri sedang cuba mengenal pasti beberapa lokasi terbaik untuk membangunkan lebih banyak kolam renang awam untuk kemudahan rakyat beriadah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya