Murty, ‘mendaki’ tinggi dengan satu kaki - Utusan Malaysia

Murty, ‘mendaki’ tinggi dengan satu kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah tular di platform TikTok menyadur lagu Perpisahan oleh Anuar Zain, Murty atau nama sebenarnya Thatchnamoorthy Nellagapan tidak menyangka videonya yang berdurasi kurang daripada 30 saat boleh meraih hampir satu juta tontonan.

Telefon pintarnya dipenuhi notifikasi komen daripada pendengar yang rata-ratanya terkejut dengan kelunakan suara lelaki asal Balakong, Selangor ini.

“Ketika itu banyak juga komen yang saya terima. Ada yang kata saya bernyanyi bagus dan ada juga yang bertanya adakah saya orang Malaysia?

“Ramai yang tidak percaya saya boleh bernyanyi lagu bahasa Melayu dengan baik. Sejujurnya, saya suka reaksi terkejut itu.

“Memang di Malaysia tak banyak penyanyi berbangsa India yang boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu,” katanya kepada Pancaindera.

TRAGEDI BUAH TITIK TOLAK

Murty tidak pernah memasang impian untuk bergelar penyanyi sejak kecil. Walaupun begitu, muzik sentiasa dekat di hatinya. Sebelum ini, Murty bekerja sebagai deejay di pub terkenal di Kuala Lumpur.

Selain itu, dia juga merupakan pelawak komediri. Sudah tentu ada masa dia akan sibuk untuk tampil di acara kelab komedi. Pendek kata, Murty bahagia kerana boleh menampung hidup dan menyara keluarga dengan melakukan perkara yang diminatinya.

Namun malang tidak pernah berbau. Pada 2019, Murty diuji dengan satu tragedi yang hampir meragut nyawanya. Ketika itu Murty sedang menunggang motosikal sebelum sebuah lori pasir terbabas dan menghentamnya.

Rempuhan itu membuatkan Murty tercampak ke bawah lori berkenaan dan tersepit. Kaki kirinya putus dan terpelanting. Murty dikejarkan ke hospital. Khabar buruk tidak berakhir di situ. Doktor kemudian datang dan memaklumkan kaki kirinya tidak dapat diselamatkan.

“Empat bulan saya terlantar di hospital. Ketika doktor beritahu kaki saya sudah tiada, saya menangis dan sudah putus asa,” ceritanya.

Setelah berbulan-bulang mengurung diri, Murty tahu dia perlu bangkit dan menerima realiti. Sejak itu, dia mula bernyanyi di laman sosial media secara suka-suka. Lama kelamaan semakin ramai yang memujinya sehingga dia membuat keputusan untuk bergelar penyanyi secara serius.

SOMEDAY (WE COULD BE)

Terkini, Murty hadir dengan se­buah single baru berbahasa Inggeris bertajuk Someday (We Could Be) selepas Ride (2022) dan Let Me Know (2023).

“Someday (We Could Be) saya hasilkan daripada pengalaman saya dalam perhubungan. Semakin saya cuma, semakin saya gagal.

“Di bahagian korus lagu ini saya nyatakan harapan jika bukan hari ini, bukan di masa depan akan ada jodoh untuk kami.

“Proses keseluruhan lagu ini mengambil masa selama dua minggu dan sesi rakaman saya lakukan di dalam bilik saya sahaja yang sudah saya jadikan kalis bunyi,” jelasnya.

Sebagai pendatang baru, Murty tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam bidang muzik.

Cukuplah baginya untuk meng­­hasilkan muzik yang digemarinya dan diberi peluang untuk berkolaborasi dengan ramai penerbit dan pengkarya yang tulus menghasilkan muzik tanpa mengejar nama dan wang semata-mata.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya