Tambahan peruntukan RM900 juta, bina 6,000 bilik darjah baharu - Utusan Malaysia

Tambahan peruntukan RM900 juta, bina 6,000 bilik darjah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan menambah peruntukan tambahan keseluruhan RM900 juta berbanding RM500 juta sebelum ini bagi pembinaan 6,000 bilik darjah baharu sekolah rendah di seluruh negara sebagai mekanisme memastikan keperluan ruang pembelajaran murid khususnya tahun satu dapat dipenuhi dengan sempurna.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tambahan peruntukan tersebut bersifat kritikal kerana Kementerian Pendidikan telah memaklumkan berlakunya peningkatan keperluan bilik darjah susulan pertambahan pendaftaran murid.

“Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kekurangan bilik darjah pada saat akhir yang boleh menjejaskan proses pembelajaran.

“Dalam Belanjawan 2026 sebelum ini kita umumkan RM400 juta untuk pembinaan 2,500 bilik darjah tambahan melibatkan lebih 800 sekolah. Namun, selepas penilaian semula dan unjuran semasa, kerajaan bersetuju menambah peruntukan daripada RM500 juta kepada RM900 juta untuk membina 6,000 bilik darjah,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Kementerian Pendidikan kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Dewan Serbaguna, Jabatan Pendidikan Perak di Ipoh, hari ini.

Anwar berkata, pelaburan dalam sektor pendidikan perlu diberi keutamaan kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek celik huruf tetapi pembangunan modal insan yang mampu menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan nilai akhlak dan jati diri.

“Kontraktor kecil bumiputera yang berjaya melaksanakan projek dengan cemerlang akan diberi peluang mengendalikan projek lebih besar pada masa hadapan.

“Kerajaan mahu melihat kontraktor kecil terutama dalam kategori G1 hingga G4 terus berkembang dan tidak kekal dalam skala kecil untuk tempoh yang lama,” katanya.

Tambah beliau, prestasi baik dalam melaksanakan projek kerajaan akan menjadi antara asas utama penilaian bagi membolehkan syarikat berkenaan menerima kontrak lebih besar.

“Kalau prestasi syarikat kontraktor kecil ini baik, saya akan pastikan dalam urutan penilaian kerajaan, mereka akan diberikan kontrak lebih besar supaya dapat berkembang. Ini janji saya kerana kita tidak mahu mereka kekal selama-lamanya sebagai kontraktor kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN