MCA sokong BN Johor tanding solo dalam PRN Johor - Utusan Malaysia

MCA sokong BN Johor tanding solo dalam PRN Johor

WEE Ka Siong (kanan) bersama Onn Hafiz Ghazi dalam semasa menghasilkan Bengkel Latihan Persediaan Pilihan Raya Negeri Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: MCA menyokong sepenuhnya keputusannya Barisan Nasional (BN) negeri untuk bergerak secara solo dan bertanding dalam kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan itu merupakan langkah terbaik buat gabungan parti politik berkenaan khususnya di negeri ini.

Katanya, jentera MCA telah bersiap siaga dalam merangka strategi berkesan bagi memastikan BN kekal mempertahankan Johor dengan kemenangan besar pada PRN kali ini.

“Keputusan Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk bergerak solo dengan bertanding di kesemua 56 kerusi dalam PRN Johor merupakan satu keputusan terbaik dan disokong sepenuhnya.

“MCA sebagai parti komponen yang turut bermusyawarah dalam mencapai konsensus ini berdiri teguh serta menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau yang terbukti berjaya memimpin BN Johor dengan baik dan mentadbir negeri Johor dengan sangat cemerlang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor, Ling Tian Soon pula memberitahu, keputusan dibuat Onn Hafiz itu merupakan satu langkah yang berani, tepat dan berpandangan jauh.

“Seluruh kepimpinan dan jentera MCA Johor akan memberi komitmen penuh bagi memastikan BN terus menerajui Johor dengan stabil serta merealisasikan sasaran menjadikan Johor negeri maju menjelang tahun 2030.

“Sejak membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga pada tahun 2022, Johor telah mencatat prestasi ekonomi cemerlang hasil kestabilan politik yang dinikmati negeri ini sekaligus mencipta rekod menarik pelaburan berjumlah RM110 bilion, tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN