Murid tahun satu maut, kenderaan bertembung lori 40 tan - Utusan Malaysia

Murid tahun satu maut, kenderaan bertembung lori 40 tan

PASUKAN bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut di Taman Khidmat, Jalan Lintas di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Murid tahun satu maut ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah apabila kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori 40 tan di Taman Khidmat, Jalan Lintas pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 5.41 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati dua buah kenderaan terlibat dalam kemalangan iaitu sebuah Proton Saga dan sebuah lori 40 tan.

“Terdapat tiga orang mangsa tersepit di dalam kenderaan Proton Saga dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan seterusnya diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala dua mangsa lain yang berusia 15 dan 59 tahun mengalami kecederaan ringan. Sementara itu, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agustavia berkata, mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Mengulas lanjut katanya, mangsa yang meninggal dunia tiada pertalian keluarga dengan pemandu. Mangsa dipercayai anak kepada rakan pemandu yang mungkin menumpang kenderaan untuk ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kolombong.

Operasi ditamatkan pada pukul 6.53 pagi setelah pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN