PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) atas kekuatan parti mereka sendiri tanpa bergabung dengan parti-parti politik yang besar.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan untuk bertanding secara bersendirian itu dibuat selepas mendapat sokongan daripada ahlinya sebelum ini.
“Muda menyertai PRN bertujuan membawa politik baharu dengan mengurangkan pemusatan kuasa, mengangkat martabat rakyat dan kembalikan kuasa institusi rakyat bukan kepada personaliti,“ katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini, semalam.
Tambahnya, jika kuasa dikembalikan kepada rakyat sememangnya tidak ada keperluan untuk Muda bertanding dalam PRN tidak lama lagi.
Jelas beliau, parti politik blok besar didapati terlalu selesa dengan kuasa yang ada pada mereka termasuk mengugut keperluan mereka tidak akan ditunaikan jika tidak mengundi parti berkenaan.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut memaklumkan parti tersebut akan mula berkempen secara maya melalui media sosial terutamanya TikTok.
Dengan melalui platform maya tersebut, beliau yakin ia akan dijadikan sebagai kaunter bagi penyokong Muda atau para pengkritik untuk menyampaikan soalan dasar kepada parti tersebut
Selain itu, Muda juga akan mengadakan siri jelajah ke seluruh enam negeri yang terlibat dalam PRN nanti bagi menyebarkan idealisme parti tersebut yang ingin membawa keadilan kepada masyarakat tidak kira kaum.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Muar itu juga mengumumkan Ketua Penerangan Muda, Luqman Long sebagai ketua pengarah pilihan raya Muda dan timbalannya, Ainie Haziqah.
Sehubungan itu, calon-calon Muda yang akan bertanding bagi PRN enam negeri itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN










