MEKAH: Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Negeri Sembilan berubah menjadi rajin dan lebih berdikari selepas mendapat tawaran menunaikan haji secara solo tahun ini.
Muhammad Haqim Mohd. Farid, 18, berkata, sejak tiba pada 8 Jun lalu, dia berubah menjadi rajin daripada pemalas kerana semuanya perlu dilakukan sendiri seperti membasuh dan melipat baju, membantu jemaah haji dan lain-lain.
Beliau berkata, pada awalnya terkejut mendapat tawaran haji dan menyangka mesej melalui aplikasi Thijari itu adalah untuk untuk ibunya.
“Ibu pun terkejut. Saya ingin menolaknya tetapi ibu bantah kerana dia kata ini adalah panggilan ilahi dan tak sepatutnya saya tolak.
“Sejak itu saya terpaksa membahagikan masa untuk SPM dan kursus haji. Lepas habis kelas tambahan setiap Ahad, saya bergegas pula ke masjid untuk hadiri kursus,” katanya ketika ditemui di Fajer Al-Badee 5 di sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Haqim, beliau tidak kekok bersendirian di tanah suci kerana sifatnya yang peramah dan cepat mesra dengan rakan sebilik yang rata-ratanya terdiri daripada orang tua.
“Saya turut mendaftar sebagai sahabat maktab KT72 kerana suka tolong orang. Antara pengalaman di sini ialah ketika membantu dua kumpulan jemaah (Indonesia dan Malaysia) yang tersasar pulang ke hotel masing-masing dari Masjidilharam.
“Saya memang suka tolong orang. Pernah satu ketika ada banjir di Seremban, saya bantu membersihkan tiga buah rumah dalam tempoh tiga jam,” katanya yang menasihati remaja sebayanya supaya jangan tinggalkan solat dan menghormati ibu bapa.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor, Seremban ini memberitahu, ibunya mendaftarkan haji untuknya pada 2007 selepas pulang dari tanah suci.
Selain itu, beliau juga memang gemar bergerak bersendirian kerana ia lebih mudah dan pantas untuk bergerak ke mana-mana.
“Saya ada pasukan bola sepak tetapi selepas main saya lebih suka bersendirian. Tunggang motosikal berkuasa tinggi ke mana-mana pun seorang diri,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Muhammad Haqim yang minat menjadi mutawif dan melanjutkan pelajaran dalam bidang agama memberitahu, beliau mengikut sikap arwah datuknya, Ishak Safar Khan yang suka membantu dan tidak kedekut walaupun tinggal RM1 dalam poket.
“Sebelum dia ‘pergi’, datuk pernah panggil dengan nama manja saya, babe. Dia sempat panggil sekali saja dan esoknya dia meninggal dunia kerana sakit tua pada usia lebih 80 tahun,” katanya sambil menahan sebak. – UTUSAN










