Minta perhilitan pindahkan gajah sering rosakkan tanaman

Minta Perhilitan pindahkan gajah sering rosakkan tanaman

AMINAH Dollah menunjukkan antara pokok sawitnya yang dirosakkan gajah liar di Kampung Lubok Sawah, Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Para penduduk Kampung Lubok Sawah di sini berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Perhilitan memindahkan gajah dari kawasan berkenaan kerana haiwan tersebut sering merosakkan pokok sawit mereka.

Seorang penduduk, Abd. Zaini Abd. Aziz, 55, berkata, selain pokok sawit yang sedang membesar menjadi kesukaan gajah, kehadiran haiwan tersebut juga menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan para penduduk.

“Saya memang risau hendak tebang sawit dan takut untuk tanam semula kerana bimbang dirosakkan gajah. Nak masuk ke kebun sawit pun kami takut kerana bimbang akan keselamatan diri kerana gajah-gajah ini tinggal di dalam kebun.

“Sejak seminggu lepas gajah-gajah ini semakin aktif memunculkan diri mereka di penempatan penduduk. Jika masuk kampung apa kami lakukan halau menggunakan unggun api, mercun.

“Pernah juga berlaku kejadian kemalangan yang melibatkan gajah. Memang penduduk di kampung ini sudah lali dengan haiwan ini bahkan sudah anggap seperti ayam, lembu, kambing kerana sering muncul namun dalam masa sama kami turut bimbang akan keselamatan kami,” katanya.

Abd. Zaini berkata, dia sudah berputus asa untuk mengusahakan ladang sawitnya akibat sering diancam haiwan itu dan kini terpaksa mencari sumber ekonomi lain untuk menyara keluarga berbanding berharap pada hasil sawit.

Katanya, penduduk berharap haiwan berkenaan dapat dipindahkan ke habitat asal serta pemantauan secara berkala oleh pihak yang berkenaan dalam menangani isu tersebut

“Memang sudah lama saya tidak usahakan dan biar sahaja ladang sawit itu dan kini bekerja mengambil upah bertukang di kampung,” katanya yang mengusahakan tanaman sawit seluas kira-kira 1.2 hektar.

Seorang lagi penduduk, Aminah Dollah, 56 berkata, kawasan rumahnya yang dikelilingi pokok sawit memang sering dikunjungi haiwan berkenaan tidak kira waktu siang atau malam.

Katanya meskipun setakat ini haiwan liar itu tidak pernah lagi mengganggu gugat keselamatan dia dan keluarga namun telah menjejaskan pendapatan penduduk.

“Gajah-gajah ini dipercayai dari Rompin, Pahang dan berhijrah ke sini kerana habitat mereka telah diteroka. Seperti saya sekeluarga kalau nampak gajah siang hari memang sudah biasa, gajah akan terus lari masuk semak bila nampak manusia. Bila waktu malam kami akan cuba halau juga.

“Keliling rumah memang kami ada tanam sawit seluas kira-kira 2.4 hektar, ada juga pokok yang terjejas disebabkan gajah ini kira-kira 30 pokok rosak. Kampung ini memang paling terjejas selain Kampung Baru Jemari di mana keduanya berada dibawah rangkaian Kampung Pangkalan Batu yang turut diceroboh gajah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN