Mekanik lumpuh, baiki motor dari atas katil

Mekanik lumpuh, baiki motor dari atas katil

MOHAMAD Zulkarnain Mustafa membaiki enjin motosikal dari atas katil kerana lumpuh di rumahnya di Chenderong Balai, dekat Pasir Salak, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Lumpuh separuh badan selepas terlibat kemalangan jalan raya pada tahun 2015 bukan halangan buat seorang lelaki meneruskan pekerjaan sebagai mekanik motosikal meskipun terpaksa melakukannya dari atas katil.

Mohamad Zulkarnain Mustafa, 27, berkata, meskipun lumpuh berikutan masalah urat saraf dari bahagian pinggang hingga ke kaki, dia perlu terus bekerja walaupun dari atas katil untuk membantu keluarganya.

Katanya, dengan kemahirannya yang dimilikinya, dia dapat membaiki motosikal seperti biasa cuma pergerakannya agak terbatas disebabkan tidak dapat berdiri seperti sebelum ini.

“Saya terlibat kemalangan jalan raya ketika balik dari pasar malam, saya bekerja sebagai pembantu di gerai kawan menjual ayam goreng.

“Sebelah malam kerja jual ayam goreng di pasar malam dan waktu siang saya juga bekerja di bengkel membaiki motosikal di Chenderong Balai. Pada hari Ahad saya membaiki motor di bengkel kecil di rumah saya secara sambilan.

“Kemalangan menyebabkan saya tidak boleh berjalan seperti biasa berpunca daripada masalah saraf yang melumpuhkan bahagian pinggang hingga ke kaki, menyebabkan saya terpaksa mengesot di atas katil ketika membaiki motosikal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Parit 2/6R Labu Kubong, Chenderong Balai, dekat sini.

Mohamad Zulkarnain berkata, akibat kemalangan itu dia tidak dapat menguruskan diri sendiri dan terpaksa bergantung kepada ibu, ayah dan adik beradiknya yang menjaganya.

Menurutnya, kadangkala timbul rasa kecewa dengan apa yang dialaminya apatah lagi dia tidak mahu menyusahkan keluarganya.

Katanya, namun kemalangan yang dialaminya tidak menyebabkan dia berputus asa untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain walaupun tidak lagi mampu berjalan, sehinggakan pernah tidak mahu berjumpa dengan sesiapa.

“Sudah hampir lapan tahun selepas kemalangan yang menimpa saya, saya kena hadapi juga sebab mahu hidup bersama keluarga, saya kena kuat semangat lalu saya menggunakan kemahiran saya membaiki motosikal untuk mencari wang.

“Dengan bantuan keluarga, mereka membina bengkel kecil di hadapan rumah untuk saya membaiki motosikal. Apabila ada pelanggan datang untuk membaiki motorsikal, adik beradik atau ibu ayah akan menolak katil saya ke luar ke bengkel di depan rumah ini.

“Sebelum enjin atau bahagian motosikal yang hendak dibaiki dan dibawa ke katil, ia akan dibersihkan sedikit dahulu supaya tidak terlalu kotor dan banyak kerja-kerja jadi mekanik dibantu oleh adiknya saya yang saya anggap sebagai kaki dan tangan saya,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai impian untuk memiliki bengkel membaiki motosikal yang lebih besar dan lengkap.

“Saya juga membuka bengkel membaiki motosikal di sebelah rumah secara sambilan tetapi bengkel tu belum siap sepenuhnya kerana saya tidak mempunyai modal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN