Maut jatuh tebing ketika cuba larikan diri dari polis - Utusan Malaysia

Maut jatuh tebing ketika cuba larikan diri dari polis

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis menemukan mayat seorang lelaki disyaki terjatuh dari tebing batu bukit berhampiran kawasan Taman Jeselton di sini, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berkenaan dipercayai salah seorang ahli kumpulan jenayah pecah rumah dan samun kediaman elit yang melarikan diri ketika pihak polis menjalankan Op Rantau Dawai tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu, sepasukan polis dari Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama pasukan Gerakan Am menjalankan Op Rantau Dawai di kawasan Jeselton, di sini.

”Dalam operasi tersebut, semasa sedang melakukan rondaan di dalam hutan berhampiran, pasukan berkenaan telah terserempak dengan tiga suspek lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.

”Pasukan berkenaan kemudian meminta suspek berhenti bagi membuat pemeriksaan, namun mereka terus melarikan diri ke arah yang tidak diketahui kerana keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Menurutnya, pasukan berkenaan telah membuat pencarian di sekitar kawasan tersebut, namun tidak menjumpai apa-apa.

Bagaimanapun, ujar beliau, kira-kira pukul 4.45 pagi hari sama, polis menjumpai seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit berhampiran.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebuah bag galas yang berada di sebelah mayat.

”Di dalam beg ini mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau, beberapa peralatan seperti pemotong, pemutar skru dan sarung tangan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.

”Turut dijumpai sebilah pisau pemotong daging, namun pihak polis tidak menjumpai sebarang dokumen diri. Bantuan daripada pasukan forensik dan Unit K9 juga gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya.

Kok Chin berkata, mayat lelaki berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan cap jari serta DNA lelaki berkenaan diambil bagi tujuan mengesan identiti.

“Kes telah diklasifikasi sebagai mati mengejut dan polis menasihati orang awam sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah dan samun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya