KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan usaha menoktahkan kemiskinan tegar menjadi tumpuan beliau kerana masalah itu menimbulkan ketakutan kepada pihaknya.
Beliau bimbang jika jumlah miskin tegar disenaraikan di sesebuah daerah tidak tepat dan meminta semua penggawa, penghulu dan ketua kampung memegang tanggungjawab memastikan bilangan rakyat dalam kategori tersebut adalah tepat.
“Masalah kemiskinan tegar ini membuatkan saya takut. Bagaimana saya boleh pegang jawatan ini sedangkan ada orang tidak cukup makan dan tidak mampu menyediakan susu anak.
“Jadi mesti beri angka tepat kerana saya tidak mahu ada yang tersisih atau terpinggir. Saya tidak mahu di Malaysia ada kategori miskin tegar dan ia perlu dinoktahkan pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Kelantan di Balai Islam Lundang, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu menyatakan, masalah kemiskinan tegar turut perlu diberi perhatian di negeri ini kerana jumlah kemiskinan tegar di Kelantan juga tinggi iaitu 21.2 peratus.
Katanya, peratusan tersebut juga perlu dipastikan tepat kerana mungkin akan terdapat pertambahan di setiap jajahan atau daerah berikutan kes-kes terpinggir yang mesti disenaraikan.
“Kebetulan saya berjumpa Pegawai Jajahan Jeli dan Kuala Krai baru-baru ini dan dimaklumkan angka miskin tegar mungkin tidak tepat secara keseluruhannya dan ada pertambahan.
“Menjadi tanggungjawab Pejabat Tanah dan Jajahan adalah mengemukakan sebarang pertambahan angka miskin tegar dengan segera. Kalau ada miskin tegar tidak tersenarai, Pegawai Jajahan atau daerah harus bertanggungjawab dan kemukakan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK),” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, sebanyak RM204 juta telah diagihkan kepada 41,450 penerima di Kelantan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat untuk kebajikan Kelantan, miskin dan kurang upaya.
“Seramai 600,000 orang di negeri ini merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) membabitkan jumlah agihan RM200 juta,” ujarnya. – UTUSAN










