Makanan haiwan juga perlu status halal - Pekemas

Makanan haiwan juga perlu status halal – Pekemas

FAIZAN MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) didesak supaya segera meminda Akta Makanan Haiwan 2009 bagi memastikan makanan haiwan dapat dilabelkan dengan logo Halal sekiranya cukup syarat seperti ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Noor berkata, status halal kepada makanan haiwan untuk ternakan di Malaysia sama penting dengan status diberikan kepada makanan bagi umat Islam.

“Sekiranya ternakan di Malaysia diberi makanan tidak halal terutama kepada ayam, lembu dan binatang lain yang halal dimakan oleh orang Islam, tetapi terdapat perkara tidak jelas dalam pemeliharaannya ia memberi tanggapan tidak baik kepada golongan Muslim di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, sudah tiba masanya skop halal diperluaskan kepada makanan ternakan termasuk lembu, kambing, kerbau, ayam dan haiwan lain yang halal dimakan oleh orang Islam.

“Sumber makanan haiwan ternakan perlu dipastikan halal dari sudut kandungan dalam pembuatan makanan selain pengimport perlu mengisytiharkan kandungan protein dalam makanan tersebut jika mengandungi lemak babi atau sebaliknya.

“Kepakaran Jakim diperlukan dalam bidang ini bagi mengeluarkan pandangan dan pendapat berkaitan hukum Islam terhadap sumber makanan haiwan ternakan yang mempunyai unsur lemak atau protein babi yang dilarang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berkaitan video tular ‘Dr. Shaari’ mengenai status halal makanan ternakan ayam di Malaysia.

Tegas beliau, JPV sepatutnya berlapang dada dan menerima pandangan yang ditularkan oleh media sosial tulisan Dr. Saari berhubung status halal makanan ternakan untuk ayam.

Menurutnya, ia adalah satu dimensi baharu dan JPV boleh mengupas isu ini dengan lebih mendalam termasuk keperluan mewujudkan status halal kepada makanan haiwan ternakan.

“Kaedah atau formulanya perlu dirujuk kepada Jakim untuk mendapatkan pandangan dari sudut syarak.

“JPV perlu lebih progresif serta jangan mengenepikan pandangan yang dikeluarkan oleh Dr. Asaari sebaliknya perlu memanggil beliau untuk berdiskusi berkaitan isu ini.

“Tindakan segera perlu diambil dengan merujuk perkara ini kepada Jakim supaya satu kertas putih dapat diwujudkan untuk dibincang di peringkat dasar,” katanya.-utusan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya