KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penjelasan Mahkamah Persekutuan yang mendapati tiada unsur jenayah rasuah terkait dengan Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd. Ghazali.
Ini melibatkan perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Senator A. Kesavadas Nair berhubung perkara tersebut.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah mendapat laporan, telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dengan kes rasuah, SPRM telah menyiasat teliti kes tersebut dan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan. Perkara ini telah dipersetujui dengan Jabatan Peguam Negara.
“Berkaitan dengan konflik kepentingan Mohd Nazlan, isu yang sama telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ketika menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan atau keterangan baharu. Dengan kata lain, isu konflik kepentingan telah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Tinggi.
“Pada 9 Ogos, pihak defendan telah menarik balik dakwaan ke atas Mohd Nazlan, alasan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah relevan kerana memuktamadkan kes ini bahawa sumber wang yang dikatakan telah diselewengkan dari SRC Internationaltidak relevan bagi tujuan pembuktian pertuduhan melibatkan kesalahan jenayah pecah amanah,” katanya Dewan Negara.
Tambah Anwar, mahkamah juga memutuskan elemen penting untuk dibuktikan bagi pertuduhan tersebut adalah sama ada tertuduh mempunyai dominasi dalam dana yang diselewengkan.
“Mahkamah Persekutuan mendapati tiada kaitan diantara pekerjaan terdahulu Hakim Nazlan di Maybank dengan pertuduhan tersebut.
“Sumber dana yang diselewengkan itu tidak relevan juga diakui oleh peguam defendan. Jika sumber wang yang diselewengkan tidak relevan maka peranan dan pekerjaan Mohd Nazlan juga tidak relevan demikian keputusan Mahkamah Persekutuan dan kerajaan mengakui keputusan tersebut,” katanya.
Pada Mac lalu, Najib gagal untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana milik SRC International dihadapinya.
Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. – UTUSAN










