TUMPAT: Kesempitan hidup memaksa lima beranak dari Kampung Cherang Melintang di sini menghuni sebuah rumah terbengkalai.
Lebih menyedihkan, dinding dan lantai rumah bukan sahaja usang, malah, sudah reput selain menunggu masa untuk runtuh.
Nur Maizatol Akmal Ab. Shahri Falaki, 36, yang hilang upaya untuk bergerak selepas diserang penyakit strok berkata, dia dan keluarga tetap bersyukur kerana mempunyai sebuah rumah untuk berlindung walaupun tidak sempurna.
“Rumah ini saya dan suami bina menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pandemik Covid-19, namun ia hanya siap sebanyak 70 peratus sahaja.
“Pembinaan itu tertangguh, disebabkan oleh masalah kewangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa enerima kunjungan dari Group Gatih Amal (GGA) yang diketuai Pengerusinya Abd. Halim Shafai di Kampung Cherang Melintang di sini semalam.
Nur Maizatol Akmal memberitahu, keadaan rumah yang hampir runtuh dan lantai sudah reput menyebabkan dia sukar untuk menguruskan diri terutamanya jika mahu ke bilik air kerana perlu turun naik tangga.
Bagaimanapun dia lega apabila anaknya Nor Safura Izati Muhamad Rizduan Shah, 10, turut membantu pergerakannya sejurus pulang dari sekolah.
“Sejak diserang penyakit strok semua tugas saya sebelum ini diambil alih oleh Nor Safura Izati dan suami Muhamad Rizduan Shah Shafie.
“Semua bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta. Sebelum keluar bekerja dia akan memasak dan menguruskan anak-anak,” ujarnya.
Nur Maizatol Akmal berkata, walaupun anaknya itu masih mentah untuk memikul tanggungjawab tersebut namun keluarga mereka tidak mempunyai pilihan.
Orang ramai yang ingin membantu menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Muhamad Ridzuan Shah Shafie 1011241000062375 atau hubungi di talian 010-2767802. –utusan










