Letak syarat beli gula premium sebelum dibenar beli gula biasa - Utusan Malaysia

Letak syarat beli gula premium sebelum dibenar beli gula biasa

S. JEGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Gara-gara meletakkan pembelian bersyarat iaitu perlu membeli gula premium sebelum dibenarkan membeli gula biasa, sebuah premis di Perai, dekat sini telah diserbu penguat kuasa pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2.20 petang itu, seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, katanya, serbuan yang digerakkan di bawah Ops Samar 3.0 itu dibuat susulan aduan orang awam melalui portal e-aduan KPDN.

Jelas beliau, hasil penyamaran pihaknya mendapati, peniaga di premis itu memiliki gula pasir putih bertapis kasar berharga RM2.85 sekilogram serta gula pasir putih bertapis jernih yang dijual pada harga RM4.60 sekilogram untuk dijual.

“Bagaimanapun, peniaga itu dikesan turut meletakkan syarat khas iaitu pelanggan perlu membeli gula berharga premium itu terlebih dahulu sekiranya ingin membeli gula biasa.

“Ia susulan satu uji beli atau ‘test purchase’ yang dibuat oleh anggota KPDN Pulau Pinang di premis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jegan memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 64 bungkus atau kilogram gula telah disita dengan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM468.25.

Ujarnya, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, tambah beliau, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sementara itu, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, para peniaga dan orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam menyeleweng barang kawalan terutama gula bagi membantu
kerajaan menjayakan objektif supaya barang kawalan itu sampai kepada pihak yang sepatutnya.

“Sekiranya penyelewengan terus berlaku, ini akan menyebabkan kerugian dan objektif bagi membantu isi rumah yang memerlukan tidak tercapai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut yang mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya