Kumpulan Doppelmayr dipilih kendali projek kereta kabel Bukit Bendera - Utusan Malaysia

Kumpulan Doppelmayr dipilih kendali projek kereta kabel Bukit Bendera

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika majlis menandatangani perjanjian konsesi untuk Pembangunan Perkhidmatan Kereta Kabel Bukit Bendera antara PHC dan Hartasuma di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sistem kereta kabel untuk projek kereta kabel Bukit Bendera akan disediakan oleh syarikat peneraju pasaran global dalam kejuruteraan laluan kereta kabel, Kumpulan Doppelmayr.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kumpulan Doppelmayr telah membina lebih 86 pemasangan kereta kabel yang terletak di tapak Warisan UNESCO, Geopark dan Biosfera serta Taman Negara pelbagai negara di seluruh dunia.

”Sistem kereta kabel yang disediakan oleh Kumpulan Doppelmayr diiktiraf secara meluas untuk kebolehpercayaan, keselamatan dan teknologi canggihnya.

”Dengan penglibatan mereka, kami yakin perkhidmatan kereta kabel di Bukit Bendera menepati piawaian antarabangsa yang tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menandatangani perjanjian konsesi untuk Pembangunan Perkhidmatan Kereta Kabel Bukit Bendera di bawah Reka Bentuk, Kewangan, Bina, Operasi dan Pemindahan antara Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dan Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bernilai RM245 juta dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PHC berkata, projek itu akan mengambil pendekatan holistik untuk memastikan kereta kabel Bukit Bendera menjadi tarikan kelas dunia.

”Projek yang dinanti-nantikan ini bukan sahaja akan meningkatkan produk pelancongan di Pulau Pinang, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi kawasan sekitar dengan mewujudkan ratusan peluang pekerjaan.

”Pelaburan ini bukan sahaja satu tarikan baharu, tetapi juga dapat mencantikkan kawasan sekitar Taman Botani Pulau Pinang dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan serta pengunjung,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menegaskan projek kereta kabel Bukit Bendera akan dilaksanakan dengan mengambil kira secara menyeluruh faktor alam sekitar dan sosial di kawasan tersebut.

”Sistem kereta kabel dikenali secara meluas sebagai mod pengangkutan awam hijau serta paling mapan bagi alam sekitar.

”Kereta kabel menggunakan kuasa elektrik dan mengurangkan pencemaran bunyi, malah pembinaannya juga memerlukan pemotongan pokok yang minimum supaya tidak akan membawa kesan buruk kepada alam sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya