KANGAR: Polis akan berusaha mengesan enam lagi suspek warga asing untuk diekstradisi ke negara ini kerana disyaki terbabit dengan kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mei 2015.
Lima daripada suspek berkenaan adalah warganegara Thailand manakala seorang lagi dari Bangladesh.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, sekitar tahun 2015 sehingga 2016, seramai empat orang warga asing terdiri daripada dua warganegara Myanmar, seorang Thailand dan Bangladesh telah dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Bagaimanapun ketika itu, masih terdapat 11 lagi suspek yang bebas terdiri daripada 10 warga Thailand dan seorang dari Bangladesh malah waran tangkap turut dikeluarkan oleh Mahkamah Seksyen di sini ke atas pihak terlibat.
“Berikutan itu, polis juga telah memohon Notis Merah kepada Interpol untuk membantu mengesan dan menangkap 11 suspek tersebut melalui kerjasama kerajaan Thailand,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan empat individu warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mei 2015.
Keempat-empat tertuduh iaitu Jehpa Lapi-E, 56, Arun Kaeofainok, 29, Somphon A-Dam, 51, dan Amree Nasalaeh, 58, bagaimanapun tidak merekodkan sebarang pengakuan selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Mengulas lanjut, katanya, salah seorang daripada 11 suspek berkenaan sebelum ini telah ditahan di Johor dan dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan berkenaan pada 5 April tahun lalu.
Katanya. empat lagi suspek warganegara Thailand yang tersenarai dalam Notis Merah berkenaan juga berjaya diekstradisi semalam dan dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini mengikut kesalahan di bawah ATIPSOM 2007, hari ini.
“Buat masa ini, polis akan berusaha bagi mendapatkan baki enam lagi suspek yang tersenarai di dalam Notis Merah Interpol itu untuk dituduh di mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Baderulhisham berkata, polis akan menjalankan risikan secara mendalam selepas ini bagi mengembangkan lagi siasatan kes berkenaan dengan mendapat kerjasama kerajaan Thailand dan agensi-agensi berkaitan.
Katanya, perbincangan juga giat dilakukan bersama kerajaan Thailand bagi mengekstradisi suspek terlibat agar dapat dituduh di mahkamah atas kesalahan berkenaan.
“Polis berharap agar baki enam lagi suspek yang dipercayai berada di luar negara dapat ditahan dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia kelak,” katanya.
Pada 2015, media melaporkan mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang merupakan isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.
Malah, lebih 100 rangka manusia juga ditemukan di kawasan kubur berkenaan dipercayai daripada etnik Rohingya.
Penemuan mengejutkan itu menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang berlaku di puncak bukit tersebut pada masa itu.
Rentetan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung kes berkenaan dan sesi pendengaran dibentangkan Pengerusinya, Tun Arifin Zakaria bermula 17 April 2019 selepas mendengar keterangan daripada 48 saksi. – UTUSAN










