Khemah di Mina sempit bukan isu baharu - TH

Khemah di Mina sempit bukan isu baharu – TH

SEBAHAGIAN jemaah berehat di dalam khemah di Mina bagi menunggu masa untuk melontar selepas solat subuh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN

Melaporkan dari Mekah

MEKAH: Masalah khemah dan ruang yang sempit di Mina bukan sahaja melibatkan Malaysia, malah turut dihadapi negara lain ekoran sempadannya telah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah sejak dahulu walaupun jumlah jemaah meningkat setiap tahun.

Ketua Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, situasi itu berlaku terutama ketika kuota penuh dan tambahan daripada kerajaan Arab Saudi.

SYED HAMADAH SYED OTHMAN

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan menegaskan, pengurusan khemah di Mina di luar kawalan Tabung Haji (TH) kerana segala kemudahan di situ disediakan oleh Arab Saudi untuk semua negara.

Ketika ini, kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia sedang bermabit di Mina untuk melaksanakan ibadah melontar selama tiga hari bermula 11 Zulhijjah.

“Ia bukan masalah baharu tetapi dihadapi sejak sekian lama. Situasi di Mina telah dimaklumkan semasa kursus di tanah air dan taklimat Masyair di maktab yang menekankan tidak boleh tidur secara terlentang disebabkan ruang sempit.

“Melihatkan kepada situasi itu, kita menasihatkan jemaah bawa satu beg roda sahaja tetapi pemerhatian mendapati ada antara mereka membawa lebih. Jemaah juga telah beranggapan tilam untuk seorang tetapi sebenarnya ia sebagai alas sahaja,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Syed Hamadah berkata demikian bagi mengulas mengenai rungutan ruang sempit khemah di Mina yang diperkatakan oleh beberapa pihak melalui portal berita dan sosial media.

Menurut Syed Hamadah, situasi satu tilam untuk satu jemaah hanya terpakai di Arafah tetapi di Mina ia lebih kepada alas dan bukannya sebagai tanda ruang seperti yang telah dijelaskan oleh pihak pengurusan maktab dalam sesi taklimat Masyair.

Tambahnya, sebagai penyelesaian jangka pendek, TH bersama jemaah telah menyusun ruang terbaik bagi membolehkan semua orang boleh berada di dalam khemah termasuk memberikan sebahagian ruang pejabat dan penginapan petugas kepada mereka.

“Namun, ada jemaah yang tak dapat sesuaikan diri dan TH membenarkan mereka berulang alik dari Mekah ke Mina jika ada permintaan, kesanggupan dan daya usaha sendiri,” katanya.

Ujar Syed Hamadah, TH juga telah meningkatkan kadar nafar awal sehingga 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di Mina berbanding 10 dan 20 peratus sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya