Ketum Malaysia tidak laku di Thailand

Ketum Malaysia tidak laku di Thailand

SEORANG penduduk memotong pokok ketum yang semakin hilang nilai sehingga harga jatuh serendah RM7 sekilogram khususnya di Thailand susulan polisi negara jiran itu menghalalkan ketum di Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penyeludup yang aktif menyeludup ketum ke Thailand dengan memperoleh pendapatan cukup lumayan sebelum ini mula terkesan apabila daun berkenaan sudah tidak laku di negara jiran itu susulan polisi Thailand menghalalkan ketum dengan rakyatnya bebas menanam pokok tersebut.

Justeru, para penyeludup sudah tidak mahu mengambil risiko memandangkan ketum sudah boleh diperoleh secara sah di Thailand dan beranggapan tidak berbaloi apabila harga daun tersebut hanya tinggal RM7 sekilogram di negara jiran itu berbanding boleh mencecah sehingga ratusan ringgit sebelum ini.

Mengikut statistik, rampasan ketum dari tahun 2020 sehingga 2023 menyaksikan penurunan cukup ketara iaitu pada 2020 sebanyak 180,485 kilogram ketum dirampas; 2021 (160,022 kilogram); 2022 (53,269 kilogram) dan sehingga April tahun ini hanya sekitar 13,000 kilogram.

Sebagai rekod, pada Ogos 2022, Thailand sekali lagi memperkenalkan Akta Ketum yang dikenali sebagai ‘Kratom Plant Act 2565 (2022) dan ia diwartakan sebagai undang–undang berkaitan penanaman ketum untuk tujuan aktiviti ekonomi, perniagaan jual beli, penggunaan dan pengiklanan.

Perkembangan tersebut sekali gus menyaksikan sudah tidak ada keperluan Thailand untuk mendapatkan bekalan ketum dari negara ini.

Difahamkan sebelum ini, Thailand mampu menjana pendapatan daripada hasil ketum sebanyak RM3.8 bilion setahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, kesan daripada polisi Thailand ‘menghalalkan’ ketum secara tidak langsung menyebabkan pengusaha-pengusaha pokok ketum tempatan mula menerima kesan pengurangan permintaan daripada penyeludup negara jiran.

Katanya, perkembangan tersebut dapat dilihat daripada penurunan jumlah rampasan ketum di negeri ini dengan pada tahun lalu sebanyak 53,269,50 kilogram berjaya dirampas manakala dalam tempoh empat bulan tahun ini pula hanya sekitar 13,591,80 kilogram.

Katanya, penurunan tersebut secara tidak langsung memperlihatkan kadar permintaan ketum dari Malaysia oleh penyeludup Thailand sudah mula berkurangan.

“Penanam dan penyeludup ketum tempatan secara tidak langsung mula terkesan daripada polisi dan tindakan kerajaan Thailand itu.

“Sebelum ini, harga ketum yang dijual secara pukal dari Perlis ke Thailand dalam lingkungan harga RM15 hingga RM17 sekilogram dan harga boleh meningkat sehingga RM30 sekilogram di Thailand. Namun selepas Akta Ketum diperkenalkan di Thailand pada Ogos 2022 harga mulai menurun dan terus menurun.

“Terkini, pengusaha hanya mampu menjual daun ketum dengan harga sekitar RM7 sekilogram sahaja dan harga selepas diseludup masuk ke Thailand pula hanya boleh mencecah RM10 sekilogram sahaja,” katanya.

Tambah Surina, penyeludup mula tidak mahu mengambil risiko memandangkan ketum boleh diperolehi secara sah di Thailand.

Ekoran itu, katanya, penyeludup mungkin beralih kepada penjualan ketum dalam bentuk air ketum kepada pasaran domestik sahaja.

Sementara itu, Surina berkata, impak pengurangan permintaan oleh Thailand secara tidak langsung menyebabkan berlakunya lambakan daun ketum di negeri ini.

“Lambakan daun ketum yang tidak mendapat tempat di Thailand secara tidak langsung menyebabkan pengusaha ketum mula mencari kaedah lain dalam memastikan daun-daun ini dapat dipasarkan secara domestik.

“Polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri mula mengesan terdapat kegiatan pengusaha ketum yang cuba memproses lambakan daun-daun ketum ini untuk pasaran tempatan.

“Daun-daun ketum ini direbus secara domestik dan dipasarkan kepada penagih-penagih ketum tempatan. Pada 2022, sebanyak 302218.35 liter cecair ketum yang dirampas di negeri ini manakala dari Januari sehingga April tahun ini sebanyak 804 liter dirampas,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan harga ketum di Thailand pernah mencecah RM180 sekilogram khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mendorong peningkatan aktiviti penyeludupan barang terlarang itu.

Pengusaha ketum negara ini pula sebelum-sebelum ini mampu meraih pendapatan lumayan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan bergantung kepada jumlah tanaman.

Berdasarkan rekod, tanaman ketum di negeri ini merangkumi ladang, kebun kecil serta kawasan-kawasan persendirian di kampung-kampung adalah seluas 10.75 hektar. Manakala jumlah keluasan tanaman ketum di Kedah pula kira-kira 140 hektar melibatkan 84,577 batang pokok dengan jumlah petani sebanyak 177 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN