JAKARTA: Pelakon Indonesia, Ari Wibowo, 52, menjelaskan dia tidak pernah bimbang isu permohonan perceraian dengan isteri, Inge Anugerah akan mempengaruhi kariernya dalam dunia hiburan.
Kata Ari yang sudah 17 tahun mendirikan rumah tangga, dia juga adalah sama seperti manusia biasa lain yang berdepan ujian kehidupan.
“Aku yakin selama 35 tahun berkarier tidak akan dirosakkan disebabkan satu kejadian seperti ini.
“Justeru, ini menunjukkan aku juga cuma manusia biasa yang tak lari daripada membuat kesilapan,” katanya dipetik dari Kompas.com.
Meskipun rumah tangganya selama ini menuai pujian ramai pihak, Ari berkata, dia tidak pernah tertekan apabila hubungannya bakal berakhir dengan perceraian.
“Mungkin sebelum ini orang cakap keluarga kami harmoni, tiada masalah, jauh daripada gosip.
“Namun, ternyata aku dan Inge juga adalah manusia biasa serta tidak memiliki apa-apa kelebihan, semuanya boleh buat silap. Kemesraan kami selama ini juga bukan dibuat-buat,” jelasnya.
Pada 3 April lalu, Ari membuat permohonan cerai terhadap isterinya selepas dilaporkan tiada persefahaman dan berlaku pertengkaran antara mereka sejak tiga tahun lalu.
Pada masa sama, Ari turut menuntut hak penjagaan dua anak lelakinya.
Untuk rekod, Ari mendirikan rumah tangga sejak 2006 dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Kenzo dan Marco.