Pas tuntut perjelasan status permohonan ekstradisi Zakir Naik

Pas tuntut perjelasan status permohonan ekstradisi Zakir Naik

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta menjelaskan kedudukan undang-undang dan diplomatik sebenar berhubung permohonan ekstradisi pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik bagi mengelakkan beliau menjadi korban politik.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan itu diperlukan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa isu berkenaan dibincangkan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di New Delhi baru-baru ini.

Katanya, kerajaan perlu memperincikan perkara yang dibincangkan serta sebarang persefahaman dicapai dalam pertemuan tersebut.

“Kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada keterangan dan dokumentasi yang dikemukakan pihak India bagi menyokong permohonan itu memenuhi syarat ditetapkan undang-undang Malaysia untuk tujuan ekstradisi.

“Pas turut menuntut penjelasan sama ada Malaysia membuat sebarang komitmen politik, secara jelas atau sebaliknya, berhubung ekstradisi Dr. Zakir Naik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, Zakir merupakan pemastautin tetap di Malaysia sejak 2012 dan status berkenaan disahkan secara rasmi oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu pada April 2017.

Menurut beliau, Pas menyedari Malaysia dan India mempunyai hubungan dua hala yang telah lama terjalin dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi serta beberapa sektor strategik lain.

Bagaimanapun, katanya, hubungan baik antara kedua-dua negara tidak boleh mengatasi syarat dan peruntukan undang-undang yang mengawal proses ekstradisi.

“Malaysia seharusnya memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap sebarang permohonan ekstradisi sah daripada mana-mana negara asing mengikut proses undang-undang, bukannya berdasarkan transaksi atau tawar-menawar politik.

“Justeru, Pas memandang serius kemungkinan Dr. Zakir Naik menjadi korban politik atau konsesi diplomatik dalam usaha Malaysia membuktikan persahabatan atau meraih kepercayaan India sekiranya peruntukan undang-undang tidak dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, isu tersebut bukan semata-mata berkaitan hubungan Malaysia dan India, sebaliknya menjadi ujian terhadap keupayaan negara mempertahankan prinsip serta undang-undangnya ketika berhadapan tekanan atau kepentingan diplomatik.

“Hubungan baik dengan mana-mana negara adalah penting, namun kedaulatan negara dan integriti sistem keadilan lebih utama serta mesti dipertahankan.

“Satu perkara tidak boleh dikorbankan demi kepentingan perkara yang lain,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×