Pulau Pinang berpotensi jadi hab bazar emas serantau - Steven Sim

Pulau Pinang berpotensi jadi hab bazar emas serantau – Steven Sim

STEVEN Sim Chee Keong (dua dari kiri), Chow Kon Yeow (tengah) dan Louis Ng (dua dari kanan) melakukan gimik menuang emas sebagai simbolik ketika majlis pelancaran kilang penapisan emas baharu milik Public Gold di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Pulau Pinang berpotensi untuk menjadi hab bazar emas berprestij di rantau Asia Tenggara tidak lama lagi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Menurut beliau, impian itu boleh menjadi kenyataan sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bekerjasama dalam membangun serta memajukan ekosistem berkaitan emas di negeri ini.

“Saya lihat (langkah mewujudkan) hab bazar emas itu atau mungkin juga kemudahan untuk menyimpan emas tidak mustahil untuk dilaksanakan di sini (Pulau Pinang) dan pembukaan kilang penapisan emas adalah langkah pertama ke arah visi atau cita-cita tersebut.

“Dalam hal ini, saya rasa tidak ada apa yang dapat menghalang Pulau Pinang daripada menjadi seperti Dubai di UAE (Emeriah Arab Bersatu) dan India kerana pembeli dan penjual emas juga kini sedang mencari lokasi alternatif untuk menjalankan aktiviti perdagangan emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kilang penapisan emas baharu bertaraf antarabangsa milik syarikat perdagangan logam berharga utama negara iaitu Public Gold di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengasas serta Pengerusi Eksekutif Public Gold, Datuk Seri Louis Ng.

Tambah Steven, industri pembuatan emas di Pulau Pinang kini menyumbang hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pembuatan serta pengeluaran barang kemas di Malaysia.

Katanya, data itu secara tidak langsung memberi asas yang kukuh kepada negeri tersebut untuk berkembang sebagai hab bazar emas serantau pada masa depan.

Sementara itu, Ng ketika ditemui pemberita memberitahu, kilang penapisan emas berkeluasan kira-kira 4,038 meter persegi itu mampu menapis sehingga 10 tan logam berharga itu dalam tempoh setahun.

Justeru, pihaknya optimis kapasiti penapisan logam berharga tersebut mampu ditingkatkan sehingga 50 tan dalam tempoh lima tahun akan datang bergantung kepada permintaan pasaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×