PETALING JAYA: Kertas Putih Kesihatan (HWP) yang dijadual dibentangkan hari ini adalah permulaan kepada usaha mereformasikan isu-isu dalam sistem perkhidmatan kesihatan awam secara berfasa dalam tempoh 15 tahun.
Ketika ini, sistem kesihatan negara berdepan dengan cabaran peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan susulan beban penyakit berganda dan masyarakat dijangka mencapai status populasi tua pada 2030.
Mengikut data, 1.7 juta rakyat Malaysia mempunyai tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) utama iaitu diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi manakala 3.4 juta mempunyai sekurang-kurangnya dua penyakit tersebut.
Sumber memberitahu, selain itu, kemunculan penyakit berjangkit baharu dan kemunculan semula penyakit lama juga mengancam kesiapsiagaan sistem dan daya tahan perkhidmatan kesihatan negara.
Ini ditambah pula dengan isu-isu meliputi ketidakseimbangan sumber manusia seperti isu perjawatan doktor kontrak dan kekurangan jururawat serta fasiliti kesihatan dan peralatan perubatan yang uzur dan daif yang membawa kepada masalah tempoh menunggu yang lama.
Utusan Malaysia difahamkan, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 juga menjadi antara tumpuan dalam Kertas Putih itu bagi membentuk Generasi Penamat (GEG) yang diharamkan mengguna dan membeli rokok dan produk vape.
Justeru, Kertas Putih Kesihatan itu juga menggariskan empat keutamaan yang antaranya mengutamakan penjagaan kesihatan primer (PHC) mesra rakyat yang menekankan penjagaan promotif dan preventif.
Seterusnya, memperkukuhkan fungsi kesihatan awam termasuk kesiapsiagaan menghadapi krisis kesihatan yang mungkin muncul dan meningkatkan pelaburan untuk kesihatan sambil mengurangkan perbelanjaan sendiri oleh rakyat.
Kertas Putih Kesihatan juga mengandungi perubahan dasar di peringkat tertinggi untuk beralih daripada perawatan penyakit kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan di semua peringkat.
Selain itu, komitmen di peringkat tertinggi untuk memastikan pembiayaan kesihatan lebih mampan, komitmen untuk memperkukuhkan asas sistem kesihatan termasuk peranan Kementerian Kesihatan, teknologi maklumat (IT), sumber manusia dan tadbir urus.
Pada masa sama, pelan tindakan Kertas Putih Kesihatan berkenaan juga akan dilaksanakan dalam melalui tiga fasa iaitu sehingga 15 tahun dan tidak akan terganggu dengan persekitaran ekonomi yang berubah dan situasi politik dalam negara.
Sebagai rekod, Kementerian Kesihatan sebelum ini mengadakan sesi libat urus bersama golongan doktor, ahli akademik dan pihak berkepentingan lain berkaitan aspek kesihatan awam selaras dengan pembangunan Kertas Putih Kesihatan.
Dokumen Kertas Putih Kesihatan juga akan dihebahkan kepada umum setelah dipersetujui di Parlimen kelak menerusi pelbagai platform dengan orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi berkongsi pandangan dan memberi input terhadap dokumen tersebut. – UTUSAN










