Kerajaan teliti faktor calon tidak ambil SPM

Kerajaan teliti faktor calon tidak ambil SPM

FADHLINA Sidek diiringi Pengetua SMJK Keat Hwa, Lee Kuen Chin melawat sekolah tersebut di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti data dan faktor yang menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penelitian data tersebut bagi membolehkan punca sebenar dikenal pasti selain melaksanakan langkah intervensi untuk menanganinya.

“Saya percaya banyak faktor yang membawa kepada ketidakhadiran calon untuk menduduki peperiksaan tersebut dan KPM sedang meneliti supaya dapat kenal pasti serta membuat intervensi sewajarnya bagi memastikan kehadiran lebih baik pada tahun akan datang.

“Saya fikir banyak faktor yang menyumbang kepada perkara itu dan sudah tentu, faktornya sangat mendesak hingga calon berkenaan tidak dapat hadir mengambil peperiksaan tersebut.

“Jadi perkara ini memerlukan penelitian. Beri kami masa untuk teliti dan kita akan buat intervensi sewajarnya,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah di sini, semalam.

KERATAN laporan muka depan Mingguan Malaysia semalam.

Berita muka depan Mingguan Malaysia semalam melaporkan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Bersandarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar.

Ditanya sama ada pertambahan jumlah ketidakhadiran itu membimbangkan KPM, Fadhlina berkata, segalanya bergantung kepada dapatan hasil penelitian dilakukan pihaknya itu nanti.

“Calon SPM ini pelbagai dan mereka bukan saja berada di bawah sekolah KPM kerana ada antara individu berkenaan merupakan calon persendirian dan sebagainya. Jadi kita perlukan pecahan yang lebih teliti bagi memastikan mengapa perkara ini terjadi sebelum mengenal pasti intervensi perlu dilaksanakan,” katanya.

Fadhlina berkata, keputusan SPM 2022 juga menyaksikan prestasi yang lebih baik berkaitan peratusan calon yang berjaya memperolehi sijil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sementara itu. kata beliau, KPM bukan saja tidak menyediakan ranking sekolah terbaik SPM 2022 malah tidak membuat perbandingan antara negeri-negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN