Kerajaan negeri siasat penganjuran konsert di IPTA  - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri siasat penganjuran konsert di IPTA 

TANGKAP layar daripada video menunjukkan sebahagian daripada penonton konsert di sebuah IPTA di Terengganu, baru-baru ini.- MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri akan melakukan siasatan berhubung sebuah video konsert yang tular kononnya berlangsung di dalam dewan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, ketika ini, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai perkara itu. 

Menurutnya, perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah universiti kerana Terengganu mempunyai garis panduan persembahan hiburan yang dibenarkan.

“Ini bukan perkara baharu kerana garis panduan itu telah lama diagihkan kepada semua jabatan-jabatan (di Terengganu), jadi tidak sepatutnya ia (konsert yang tular dalam video) berlaku di universiti tersebut.

“Saya akan dapatkan maklumat sebenar terlebih dahulu (sebelum apa-apa keputusan)…lagi pun ini dibawah jawatankuasa yang sama dan saya sendiri selaku pengerusi dan exco pendidikan dan pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Kick-off Bsas Aeoronautics pesawat tanpa pemandu (UAV) di sini, hari ini. 

Hari ini, tular sebuah video berdurasi 37 saat yang menunjukkan penganjuran sebuah konsert yang berlangsung di dalam dewan sebuah universiti di Terengganu. 

Video tular itu memaparkan pelajar lelaki dan perempuan universiti itu hadir menyaksikan konsert tersebut.

Mengulas lanjut, Satiful berkata pematuhan terhadap garis panduan hiburan yang ditetapkan perlu dipatuhi walaupun konsert itu diadakan dalam kawasan persendirian.

“Saya rasa, kena ikutlah garis panduan yang sepatutnya walaupun dalam kawasan persendirian, ia masih lagi terikat dengan garis panduan dasar-dasar kerajaan negeri yang meletakkan asas pematuhan syariah.

“Jadi, saya akan tanya balik, semak semula macam mana sebab saya baru dapat maklumat ini,” katanya.

Pada Mac 2020, kerajaan negeri telah melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam.

Garis panduan tersebut diwujudkan hasil perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Mufti dan ia akan diedarkan kepada semua jabatan serta agensi kerajaan sebagai rujukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya