KOTA KINABALU: Kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai ketetapan harga beras susulan khabar angin yang menyatakan harga makanan ruji itu dijangka naik pada bulan depan.
Justeru, desas-desus menyatakan akan berlaku kenaikan harga beras bulan depan susulan fenomena El-Nino yang dijangka mengakibatkan bekalan beras berkurang, perkara itu belum diputuskan di peringkat kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, khabar angin kenaikan harga beras itu bukanlah keputusan kerajaan.
“Desas-desus mengatakan akan berlaku kenaikan, bukan satu keputusan daripada kerajaan.
“Tapi, kementerian ini dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bertukar nota pada hari ini dan kita akan keluarkan satu kenyataan dengan kadar segera,” katanya selepas melancarkan Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei di Teluk Sepanggar, dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan akhbar yang menyatakan akan berlaku kenaikan harga beras pada bulan depan kerana bekalan beras dijangka berkurang susulan fenomena El-Nino
Salahuddin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa maklumat mengenai bekalan beras namun, kementeriannya memang bersedia dengan fenomena El-Nino.
“Kita tidak dapat fakta itu secara tuntas. Malah, saya baharu baca hari ini (isu kenaikan harga beras). Kita sedia hadapi fenomena El-Nino jadi, sekarang saya sudah meminta pegawai mendpatkan maklumat daripada KPKM untuk kita dapatkan fakta dahulu, mungkin lewat petang ini, fakta itu akan diperoleh,” katanya.
Mengenai Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei, kerjasama ekonomi itu akan bermula dengan pembekalan Gas Petroleum Cecair (LPG) tidak bersubsidi dari negara ini ke Brunei.
Kerjasama itu akan memperlihatkan Petronas melalui pengeluaran LPG di loji Teluk Sepanggar telah bersetuju untuk membekalkan sebanyak 150 tan metrik LPG tidak bersubsidi kepada Brunei.
Penyaluran bekalan LPG itu akan dilakukan oleh syarikat Brunei Shell Marketing Company Sdn Bhd dari Terminal Minyak dan LPG Teluk Sepanggar.
“Penghantaran itu telah bermula pada 16 Jun hingga 1 Julai lalu. Pada masa sama, kementerian juga memberi jaminan bahawa pembekalan LPG itu tidak akan menjejaskan kelangsungan bekalan LPG dalam negara.
“Kerjasama ekonomi serantau, terutama dengan negara jiran adalah potensi baharu yang wajar diterokai dan dipertingkatkan oleh pemain industri perdagangan di Malaysia,” katanya. UTUSAN










