Jangan provok, hormati pendirian, biar rakyat buat keputusan

Jangan provok, hormati pendirian, biar rakyat buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah pun menetapkan hari penamaan calon dan pengundiaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Walaupun perang pilihan raya sudah bermula sebaik sahaja kedua-dua Dewan Udangan Negeri (DUN dibubarkan, tetapi kini ia sudah pasti akan lebih intensif termasuk akan membabitkan provokasi, serangan peribadi, pendedahan dan sebagainya.

Dan pastinya juga keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo serta perpecahan antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) akan menghangatkan lagi kempen kedua-dua PRN itu.

Selain kehadiran pasukan Reset pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bersama di bawah Datuk Seri Rafizi Ramli sudah tentu akan menambah bahang sedia ada. Semua resipi ini dijangka menjadikan kedua-dua PRN itu lebih panas.

Namun dalam suasana politik yang semakin dinamik ini, semua pihak perlu mengambil pendekatan matang dengan menghormati pendirian setiap parti dan menyerahkan penilai­an akhir kepada rakyat.
Dalam sistem demokrasi, setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan strategi dan hala tuju masing-masing. Keputusan bergerak secara solo oleh mana-mana parti bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ia merupakan pilihan politik yang dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kekuatan jentera, sokongan akar umbi serta pertimbangan kepentingan jangka panjang parti. Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam PN, apabila ada yang memilih untuk membawa haluan berbeza selepas sekian lama bekerjasama dalam blok pembangkang.

Apa yang penting ialah semua keputusan tersebut dibuat melalui saluran politik yang sah dan demokratik. Oleh itu, tidak perlu ada pihak yang cuba memprovokasi keadaan dengan melemparkan tuduhan, memperlekehkan keputusan pihak lain atau mencetuskan sentimen yang boleh mengeruhkan lagi suasana politik negara.
Politik yang sihat seharusnya berteraskan persaingan idea, dasar dan kemampuan mentadbir, bukannya serangan peribadi atau usaha menimbulkan kebencian terhadap lawan. Rakyat hari ini semakin matang dalam membuat penilaian. Mereka tidak lagi melihat kepada slogan semata-mata, sebaliknya menilai rekod pencapaian, kredibiliti kepimpinan dan kemampuan sesebuah parti menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.

Dalam konteks PRN Johor dan Negeri Sembilan, pengundi akan menjadi hakim sebenar. Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada yang menggunakan pendekatan solo mampu meyakinkan mereka atau sebaliknya. Begitu juga de­ngan parti-parti lain yang akan menawarkan alternatif masing-masing kepada rakyat.

Hakikatnya, perbezaan pendapat dan strategi adalah perkara biasa dalam politik. Apa yang membezakan kematangan sesebuah negara demokrasi ialah cara perbezaan itu diuruskan. Hormati keputusan setiap parti, elakkan provokasi yang tidak membina dan berikan ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan berdasarkan fakta serta pertimbangan yang rasional.

Akhirnya, mandat politik bukan ditentukan oleh suara pa­ling lantang di media sosial atau ceramah politik, tetapi oleh rakyat melalui peti undi. Justeru, biarlah rakyat membuat keputusan tanpa tekanan, tanpa provokasi dan tanpa prejudis. Itulah semangat demokrasi yang sebenar.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan MalaysiaMINGGUAN