Kerajaan bakal rangka tiga dasar negara

Kerajaan bakal rangka tiga dasar negara

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan merangka tiga dasar negara yang lebih kental dan ampuh iaitu Pelan Perindustrian Negara, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia dan Belanjawan Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pelan Perindustrian Negara akan dilancarkan pada Ogos ini manakala Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada Oktober.

Beliau berkata, kerajaan mengakui bahawa wujud cabaran dan dunia masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan di samping kerancakan perdagangan ekonomi sejagat kian terbantut dan krisis iklim serta persekitaran berada di tahap genting.

“Arakian yang dituntut adalah merangka dasar negara yang lebih kental dan ampuh. Insya-Allah, Pelan Perindustrian Negara akan diluncurkan pada bulan Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada bulan Oktober, kesemuanya tatkala Tuanku masih bersemayam di atas singgahsana negara.

“Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan, akan menjadikan landasan tata kelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam perutusan sembah tahniah dan selamat pada Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Menurut Anwar, ekonomi negara telah melonjak pertumbuhan ke 5.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jumlah pelaburan RM71.4 bilion berjaya diperoleh pada suku pertama 2023 di atas usaha dan kebijakan ekonomi yang direncanakan oleh Jemaah Menteri, penjawat awam dan sektor swasta.

Katanya, Belanjawan Malaysia Madani 2023 yang diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 lalu bertambah ampuh ke arah tekad pelaksanaan tiga tekad dan 12 ikhtiar utama terutama dalam bidang keterjaminan makanan, ekonomi digital, peranan IKS dan menoktah kemiskinan tegar.

“Selain usaha pemulihan ekonomi, Kerajaan Perpaduan sedang menumpukan usaha untuk menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barang selain memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.

“Beberapa pendekatan seperti Konsep Payung Rahmah, Karnival Jualan Aidilfitri, keusahawanan, inovasi sosial seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat adalah merupakan sebahagian ikhtiar untuk membantu rakyat telah mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Perdana Menteri kemudian memaklumkan Malaysia akan terus berperanan dengan lebih aktif dalam menyuarakan pendirian serta memelihara kepentingan negara di forum-forum antarabangsa khususnya dalam isu-isu kedaulatan negara, kemanusiaan, keselamatan dan pengurusan bencana. 

“Bagi pihak Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, adalah diulangi tekad untuk bertugas sebagai satu pasukan dan mengukuhkan persefahaman agar tidak ada kelompok negeri yang terpinggir dan tersisih. 

“Di antara yang menjadi tumpuan adalah memperbaiki sekolah dan klinik dhaif, perumahan penjawat awam yang bocor serta kelengkapan pasukan keselamatan negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menghargai sumbangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mengangkat kepentingan negara dalam bidang diplomatik dan pelaburan.

Perdana Menteri menambah, Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Seri Paduka telah berjaya mempertautkan kesatuan permuafakatan dan selanjutnya mewujudkan kestabilan politik negara.

“Lantas memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan dan wajar menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat,” kata Anwar.

Anwar justeru itu berbekalkan tekad dan semangat ‘Membangun Malaysia Madani’, Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan dan mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.