KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda menolak permohonan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan final award timbang tara bernilai AS$14.90 bilion terhadap Kerajaan Malaysia jelas membuktikan tuntutan itu tidak mempunyai locus standi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengalu-alukan keputusan itu sekali lagi menyatakan pendirian bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf tuntutan tersebut.
“Sabah berkongsi keyakinan dengan Kerajaan Persekutuan seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya anugerah itu berikutan keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hajiji turut melahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana berdiri teguh dalam melindungi kedaulatan Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan sehingga tuntutan terhadap Sabah itu dibatalkan.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda telah menolak permohonan kumpulan mendakwa waris Sultan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan final award timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion).
Anwar berkata, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu.
Beliau berkata, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda. – UTUSAN










