KUALA LUMPUR: Kenderaan berat yang membawa lebih muatan antara punca jalan raya di negara ini kerap rosak dan berlubang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, walaupun berat ditetapkan sehingga 60 tan metrik sahaja, beliau percaya muatan yang dibawa melebihi had ditetapkan.
Katanya, kesan daripada itu menyebabkan daya tahan jalan raya di negara ini terjejas meskipun pelbagai inovasi digunakan termasuk dari segi turapan bagi memastikan ketahanan permukaannya.
“Saya berani kata demikian kerana saya sendiri pernah bertanya (pemandu) sebuah lori yang berhenti di tepi jalan, dia kata lebih kurang 100 tan metrik, kenderaan yang membawa muatan itu. Ini antara punca sebenarnya.
“Kalau boleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Silaturahim Brotherhood bekerjasama atasi masalah seperti ini, saya percaya Insya-Allah daya tahan dan jangka hayat jalan raya kita mungkin boleh panjang sedikit,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) dalam soalan tambahan meminta kerajaan menjelaskan mengenai teknologi baharu digunakan untuk turapan jalan serta sejauh mana libat urus kementerian dengan NGO bagi mengatasi isu kekerapan kerosakan jalan persekutuan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman menggesa MOT dan NGO bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi mengatasi isu terbabit, sekali gus memastikan masalah kekerapan kerosakan jalan raya di negara ini dikurangkan.
“Kalau tengok soalan-soalan Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat seperti di Klang umpamanya, isu kenderaan berat amat ketara dan begitu juga di kawasan lain.
“Sedangkan di negara kita, (had) berat muatan kadarnya lebih kurang 60 tan metrik, tapi saya percaya kenderaan yang lalu di jalan persekutuan seperti di Gua Musang, melebihi 60 tan metrik,” katanya. – UTUSAN










