BESUT: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini mendorong orang ramai mengambil peluang bercuti ke Pulau Perhentian di sini, bagi menikmati suasana pantai yang lebih nyaman dan menenangkan.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, pelancong tempatan berpusu-pusu ke pulau itu khususnya pada hujung minggu untuk bercuti sekali gus menikmati keindahan alam di situ.
Seorang pengunjung, Nordin Borhan, 70, dari Kuala Lumpur berkata, dia mengambil kesempatan ke Pulau Perhentian bersama anak dan cucunya untuk menyertai hari keluarga.
“Ini adalah percutian pertama kami ke Pulau Perhentian. Cuaca panas ketika ini sangat sesuai melakukan pelbagai aktiviti menarik di situ selain dapat merasai angin laut yang lebih menyegarkan,” katanya di Jeti Kuala Besut di sini.
Sementara itu, Ruzlina Mohd Zain, 43, pula berkata, ketika cuaca panas, pelbagai aktiviti dapat dilakukan ketika berada di Pulau Perhentuan termasuk mendaki ke Windmill, snorkeling, skuba serta bersiar-siar di perkampungan.
Menurutnya, jika bercuti ketika musim hujan pelbagai risiko perlu mereka hadapi termasuk meredah badai ombak dan hujan ketika di tengah laut.
Sementara itu, seorang pengusaha bot, Mazlan ismail, 57, berkata, ketika ini permintaan dan tempahan ke pulau berkenaan mencecah sehingga 100 pelancong setiap hari dan ia semakin ramai ketika cuti hujung minggu atau cuti persekolahan.
“Di sini terdapat banyak pengusaha bot dan kebanyakan daripada kami menerima tempahan awal daripada pelanggan. Harga yang ditawarkan adalah serendan RM80 bagi perjalanan pergi dan balik ke Pulau Perhentian.
“Terdapat juga pelanggan yang mahu mengambil pakej perjalanan satu hari ke sana terutama golongan pelajar institusi pengajian tinggi kerana pakejnya yang murah,” katanya. – UTUSAN










