Mangsa bot terbalik dakwa mereka minta jaket keselamatan, tetapi tidak dilayan

Mangsa bot terbalik dakwa mereka minta jaket keselamatan, tetapi tidak dilayan

SANGGETHA (kanan) dan anaknya, Hirsshika ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Bayu Aman, Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: “Berulang kali kami meminta jaket keselamatan untuk dipakai memandangkan ada ramai anak kecil. Namun, pemandu bot memberi alasan ia basah selain mengatakan perjalanan ke resort dekat sahaja.”

Itu kata S. Sanggetha, 39, salah seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, kelmarin.

Menceritakan semula detik cemas itu, Sanggetha berkata, ketika kejadian, rombongan percutian yang melibatkan empat keluarga terdiri daripada lapan dewasa dan tujuh kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang ke sebuah resort di Pulau Perhentian Besar selepas menikmati makan malam di Pulau Perhentian Kecil kira-kira pukul 9 malam.

“Cuaca memang sudah nampak mahu hujan dan sebelum menaiki bot, suami saya (S. Arumugam) dan rakan-rakannya sudah meminta jaket keselamatan, tetapi, pemandu memberitahu perjalanan tidak jauh iaitu sekitar 10 hingga 15 minit sahaja.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, hujan mulai turun dengan lebat ditambah dengan keadaan sangat gelap dan bot yang kami naiki pula mula terumbang-ambing.

“Saya memegang kuat anak sulung kami, A. Hirsshika manakala suami pula memegang anak bongsu (A. Sarrvikha) sebelum datang satu ombak yang amat besar menyebabkan bot terbalik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bayu Aman, Teluk Air Tawar di sini, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, Arumugam, 40, dan Sarrvikha, 3, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi kanak-kanak, Vennpani Vijeya Raj, 10, turut maut dalam insiden berkenaan.

Mengulas lanjut, Sanggetha yang juga eksekutif sebuah syarikat swasta itu berkata, kejadian itu berlaku tatkala bot sudah menghampiri persisiran resort, namun, keadaan laut yang amat bergelora menyebabkan masing-masing sukar untuk berenang ke daratan.

“Walaupun sudah dekat kerana saya nampak lampu-lampu resort, tetapi, keadaan laut masa itu masih dalam dan kaki saya tidak dapat merasai dasar laut. Kami berdua terpisah daripada suami serta rakan-rakannya.

“Saya juga tidak pandai berenang, namun, pada masa yang sama, saya tidak lepaskan tangan anak sulung kuat sebelum terdengar jeritan seorang lelaki yang berada atas bot yang diparkir yang menghulurkan tangan untuk menarik saya ke atas.

“Kami berdua diselamatkan lelaki terbabit dan dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan kerana paras oksigen anak saya semakin menurun. Saya kemudiannya menghubungi rakan suami dan bertanya akan keadaan mereka semua sebelum dimaklumkan yang suami dan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya sambil menahan sebak.

Sanggetha berkata, ini adalah kali pertama mereka bercuti ke Pulau Perhentian bersama rakan-rakan karib suaminya bagi meraikan ulang tahun mereka ke-40.

“Semuanya memang gembira kerana mereka memang kawan rapat dan saya memang tidak menyangka tragedi seumpama ini akan berlaku. Saya memang perlu menerima kenyataan ini dan terus kuat untuk anak saya,” katanya.

Semalam, media melaporkan tiga termasuk dua kanak-kanak maut, manakala seorang kritikal dalam kejadian bot pelancong terbalik di perairan Pulau Perhentian dekat sini, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×