Kekalkan caj RM1 di klinik kerajaan

Kekalkan caj RM1, hospital klinik kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kerajaan perlu mengekalkan caj RM1 yang dikenakan klinik kesihatan kerajaan kepada pesakit selaras dengan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pesara guru, Abdul Latif Umar, 62, berkata, sepatutnya mana-mana pihak tidak membangkitkan isu caj RM1 ini walaupun tidak munasabah daripada logik akal kerana ia merupakan hadiah kepada rakyat negara ini.

“Sebenarnya caj RM1 itu merupakan penghargaan kerajaan kepada rakyat membabitkan semua golongan khusus­nya yang berpendapatan rendah mendapat rawatan terbaik.

“Saya harap caj yang tidak masuk akal ini tidak dipolemikkan kerana bukan semua rakyat berduit dan berkemampuan,” katanya di sini.

Jumaat lalu, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, caj RM1 yang dikenakan klinik kesihatan kerajaan wajar dinaikkan kepada RM5 hingga RM20 kerana fi sedia ada disifatkan tidak masuk akal terutama ketika nilai kos rawatan semakin meningkat.

Mohd. Afiq berkata, caj RM1 itu tidak menggambarkan nilai kos rawatan sebenar mahupun kerja kakitangan kementerian yang sudah overwork dengan tugasan harian mereka.

Seorang pesara tentera, Sharip Mat Resad, 70, berkata, saranan menaikkan caj RM1 itu tidak kena masanya ketika rakyat terbelenggu dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, rakyat mar­haen akan ke hospital atau klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan berkualiti berbanding klinik swasta yang mengenakan ‘caj kayangan’ yang tidak mampu dibayar golongan berpendapatan rendah.

Bagi Baharuddin Taib, 50, pekerja perladangan Felda dari Bera mengakui caj RM1 yang dikenakan memang tidak ma­suk akal tetapi itulah keunikan Malaysia di mata dunia apabila kerajaan menjaga aspek kesihatan rakyat.

“Jika mendapat rawatan sakit ringan seperti demam di klinik swasta caj biasanya sekitar RM70 ke RM100 termasuk ubat-ubatan amat tinggi bagi rakyat marhaen,” katanya.

Pesara komando, Mohd. Ayob Shahri, 60, menolak cadangan menaikkan caj RM1 itu kerana masih ramai orang kampung seperti petani, nelayan dan warga emas tidak mampu menanggung isu kenaikan kos sara hidup dan rawatan pada ketika ini.

“Pada masa sama kerajaan perlu juga memantau kenaikan kos rawatan di klinik swasta dan harga ubat-ubatan yang membebankan rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Seorang penerokawati dari Felda Lembah Klau, Mazanah Yaakob, 65, berharap cadangan pembaharuan dalam sistem perbelanjaan pembiayaan kesihatan menerusi Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentang Kementerian

Kesihatan pada sidang Dewan Rakyat akan datang dapat mengekalkan caj RM1 ini demi rakyat dan negara.

“Jika dinaikkan caj ini di klinik kerajaan, ia akan menambah tekanan rakyat miskin dan asnaf,” katanya.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN