Kedah nilai semula kewajaran lulus lesen premis urut

Kedah nilai semula kewajaran lulus lesen premis urut

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor bersama Najmi Ahmad (dua kanan) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mesyuarat Exco terakhir kerajaan negeri Kedah hari ini memutuskan untuk menilai semula kewajaran bagi meluluskan lesen premis urut dan refleksologi di negeri ini yang ada antaranya terpesong daripada tujuan asal hingga mewujudkan aktiviti bertentangan moral.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau menerima taklimat mengenai perkara itu daripada Exco berkaitan serta pihak berkuasa yang menyatakan berlaku kegiatan lain di premis-premis berkenaan.  

Sehubungan itu katanya, satu operasi bersepadu oleh pihak polis, imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad diadakan pada 17 Jun lalu.

“Mungkin kerana maklumat mengenai serbuan itu bocor, maka tidak ditemui kegiatan tidak sihat sewaktu serbuan dilakukan. Tetapi jika pemantauan pihak berkuasa selepas ini mendapati masih terdapat kegiatan lain selain daripada yang dilesenkan, maka lesen pusat urut dan refleksologi itu tidak akan diperbaharui.

“Kita akan tutup pusat-pusat itu dan melihat peruntukan undang-undang mana yang boleh digunakan untuk menghentikan lesen mereka. Perkara itu telah dimasukkan dalam keputusan mesyuarat Exco hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mesyuarat Exco hari ini dijangka menjadi mesyuarat terakhir bagi kerajaan negeri pimpinannya sebelum beliau menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun ini bagi mencadangkan agar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat pada 28 Jun.

Muhammad Sanusi berkata, walaupun DUN Kedah akan dibubarkan dalam masa terdekat tetapi tugas pihak berkuasa termasuk polis, imigresen serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus berjalan seperti biasa.

“Mereka akan melaksanakan perkara itu. Keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat Exco, jadi pemantauan akan terus dilakukan pihak berkenaan dan kalau ada melanggar syarat, maka lesen tidak akan diperbaharui,” katanya.

Sementara itu Najmi berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa kegiatan tidak sihat membabitkan pusat-pusat urut dan refleksologi berkenaan turut melibatkan golongan belia serta pelajar sekolah.

Menurutnya, itu merupakan antara faktor mengapa mesyuarat berkenaan membuat keputusan untuk menimbangkan kewajaran meluluskan permohonan lesen baharu premis rumah urut dan seumpamanya.

“Antara penilaian dibuat termasuk berkaitan keuntungan kepada negeri dari sudut ekonomi, kesihatan dan moral. Itu yang harus ditekankan dan setakat ini, kita tak rasa ia menguntungkan negeri kerana kebanyakan pekerja di tempat-tempat seperti itu merupakan warga asing dan pendapatan mereka mengalir ke negara masing-masing.

“Malah, Kedah juga tidak bergantung kepada perkara itu, tak untung banyak mana pun. Kita nak supaya keberkatan itu ada dan biarlah lesen itu tak diluluskan pun, tak mengapa,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN