Kanak-kanak 2 tahun didera sedang menerima rawatan, disahkan selamat

Kanak-kanak 2 tahun didera sedang menerima rawatan, disahkan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan kanak-kanak dua tahun yang didera oleh orang dikenali baru-baru ini sedang menerima rawatan selepas dibawa ke hospital bersama ibunya.

Menurut kenyataan kementerian itu, pihaknya turut mengesahkan kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan selamat.

Katanya, suspek kes itu kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan yakin bahawa siasatan terperinci terhadap pesalah kes penderaan dan salah laku terhadap kanak-kanak ini akan dijalankan.

“KPWKM amat memandang serius kes penderaan itu sepertimana tular di media sosial baru-baru ini. Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001.

“Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua jabatan serta agensi di bawah KPWKM ini akan terus memberikan pemeliharaan dan pelindungan sewajarnya kepada kanak-kanak,” katanya hari ini.

Pada masa sama, KPWKM sentiasa meningkatkan kesedaran dalam usaha melindungi kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes penderaan boleh terus menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera.

Terdahulu, seorang lelaki yang dipercayai mendera anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur, berjaya ditahan polis, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D. Saralathan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Jinjang, Sentul.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima maklumat berhubung penderaan ke atas kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan berdasarkan maklumat suspek dipercayai memukul mangsa kerana dikatakan bising.

Kanak-kanak itu bengkak pada bibir dan lebam kedua-dua mata serta bahagian belakang badan.

Kejadian dilapor berlaku di rumah dihuni suspek dan teman wanitanya sebelum kanak-kanak itu dihantar ke rumah keluarga wanita terbabit di Taman Setapak Jaya.

Difahamkan ketika kejadian, ibu mangsa ada bersama anaknya namun tidak melawan suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN