Kadar kebolehpasaran graduan aeroangkasa hampir 100 peratus

Kadar kebolehpasaran graduan aeroangkasa hampir 100 peratus

ASYRAF Wajdi Dusuki beramah mesra dengan pelajar UniKL selepas persidangan ICAAMGS 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar kebolehpasaran graduan yang menamatkan pengajian di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) mencecah hampir 100 peratus selepas pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara purata kira-kira 500 graduan dihasilkan setiap tahun oleh institusi berkenaan dengan trend kebolehpasaran mencapai 96.3 peratus pada 2020 diikuti 95.4 peratus pada 2021 dan 96 peratus pada tahun lalu.

“Setakat ini kita ada lebih 1,800 pelajar dan aeroangkasa ini dikategorikan sebagai salah satu daripada TVET (program pendidikan teknikal dan latihan vokasional) berkemahiran tinggi.

“Mara juga merupakan antara institusi yang terkehadapan bagi melatih anak-anak muda dalam industri aeroangkasa terutamanya dalam konteks MRO (maintenance, repair, overhaul) yang bukan sahaja memfokuskan terhadap teori, tetapi turut mempunyai jalinan kerjasama dengan sembilan syarikat-syarikat besar yang terlibat dengan industri,” katanya.

Asyraf berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Aeroangkasa, Pengurusan Penerbangan dan Rantaian Bekalan Global (ICAAMGS 2023) anjuran UniKL MIAT yang menghimpunkan ahli akademik, sarjana, pemain industri dan pembuat dasar dari pelbagai sektor berkaitan ekosistem penerbangan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, para pelajar dari UniKL MIAT menerima permintaan tinggi dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh pihak industri untuk terus bekerja di lapangan.

Jelasnya lagi, selain mempunyai tahap kemahiran tinggi, para pelajar dari program berkenaan juga sudah terbiasa dengan suasana sebenar dalam industri aeroangkasa berdasarkan ekosistem pembelajaran yang diterapkan.

“Sebab itu kita galakkan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) jangan hanya melihat kepada bidang-bidang konvensional misalnya undang-undang, arkitek, perakaunan atau kedoktoran. Mereka perlu lihat bidang sains yang lebih luas lagi iaitu TVET yang mampu menjanjikan pulangan yang lumayan,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi ucapan perasmiannya, Asyraf berkata, ketika ini, di Asia Tenggara, Malaysia mendahului dalam melahirkan bilangan tenaga kerja mahir dengan kepakaran kompeten dan kecekapan teknikal yang berbeza untuk industri aeroangkasa.

Katanya, berdasarkan Pelan Tindakan Aeroaangkasa Malaysia 2030, institusi atau organisasi yang menawarkan pendidikan dan latihan penerbangan aeroangkasa di negara ini mampu untuk terus mendahului dalam melahirkan bilangan tenaga kerja mahir.

Kapasiti terkumpul tenaga kerja mahir yang direkodkan seramai 50,751 juruteknik dan 15,556 graduan jurutera menjelang 2030.

“Bagaimanapun, perancangan strategik perlu dilaksana bagi membolehkan negara bersaing secara kompetitif dengan pemain terkemuka serantau lain dalam melahirkan tenaga kerja yang cekap untuk MRO, penyepaduan sistem, perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk serta subsektor pembuatan aero,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya