PETALING JAYA: Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengambil tindakan tegas susulan aduan kes buli yang didakwa berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu susulan kes terbaharu membabitkan foto tular di media sosial yang memaparkan baju seragam sekolah koyak rabak akibat digunting dan dikaitkan dengan kejadian tersebut.
Beliau berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli di institusi pendidikan Mara.
“Saya sudah arahkan pengurusan Mara ambil tindakan tegas, tiada kompromi. Tiada tempat untuk pembuli di MRSM,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan aduan seorang pemilik akaun Facebook bernama Khairul Nizam di ruangan komen hantaran berkenaan mengenai kejadian buli di MRSM tersebut.
Menurut aduan itu, meskipun laporan telah dibuat kepada pihak pengurusan, tiada tindakan tegas diambil terhadap pembuli sehingga mangsa terus dibuli dan menerima ugutan.
Aduan sama turut mendakwa sembilan pelajar MRSM berkenaan telah dikenal pasti sebagai suspek, manakala mangsa membabitkan seorang pelajar Tingkatan Satu.
Mereka didakwa menggunting pakaian mangsa, menghantar surat layang dan ugutan selain menconteng serta melakukan penderaan mental. – UTUSAN










